09 September 2011

Kenangan menarik sambut Aidilfitri


MEREKA bukan sahaja memiliki pakej menarik dan berbakat sebagai seorang anak seni, malah ketiga-tiga pelakon ini boleh dikatakan antara artis wanita yang sering dilanda dengan pelbagai kontroversi.

Bagaimanapun, bukan kisah kontroversi mereka yang ingin kembali diungkitkan pada bulan yang mulia ini. Sebenarnya, Miera Liyana Kasmi, Nur Fathia Abd. Latiff dan Syakila Nisha Jahangir atau lebih mesra dengan panggilan Kilafairy ingin berkongsi kenangan menarik ketika menyambut Aidilfitri. 

Pelakon yang pernah mencetuskan kontroversi mengenai isu baju yang dipakai sehingga mengundang kritikan ramai, Miera Liyana mempunyai kenangan tersendiri yang sukar untuk luput dalam ingatannya.

Menurutnya, ia merupakan sebuah kejadian yang agak buruk, tetapi sangat melucukan untuk dikenang kembali terutama apabila setiap kali umat Islam menyambut hari raya.

“Kira-kira dua tahun yang lalu sewaktu malam menjelang satu Syawal, ketika ahli keluarga lain sedang sibuk membuat persiapan raya, saya pula telah mengalami kemalangan motosikal.

“Pada masa itu, saya menunggang motosikal superbike milik ayah dan dia pula menjadi pembonceng. Akibat tidak dapat mengawal motosikal tersebut, akhirnya saya telah melanggar pasu bunga dan terjatuh,” ujarnya.

Cerita Miera lagi, dia agak bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan yang teruk selain luka-luka kecil sahaja, sementara ayahnya pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemudian pada hari raya pertama ramai rakan yang datang beraya termasuklah seorang rakan lelaki yang memang saya minat dalam diam. Ketika itu memang rasa malu sangat sebab keadaan yang luka-luka, sedangkan rakan-rakan yang lain semuanya cantik dengan pakaian raya," ujarnya.

Sementara itu, Kilafairy yang merupakan anak penyanyi terkenal Rohana Jalil pula pernah menyambut 1 Syawal dengan pergi memancing bersama beberapa orang abang sepupunya sewaktu berusia 14 tahun.

Jelas Kilafairy, idea memancing di pagi raya timbul secara tiba-tiba dan selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, dengan memakai baju kurung dia dan kakak serta abang sepupunya terus pergi memancing seharian di tepi pantai.
KILA, Miera dan Fathia mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang lakonan.

“Kalau orang lain sedang sibuk menziarahi rumah jiran dan saudara-mara,kami pula telah melakukan suatu aktiviti yang rasanya tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun.

“Malah, kami bernasib baik kerana ahli keluarga yang lain tidak marah dengan tindakan kami itu. Lagipun mereka faham kami semua memang jarang berjumpa dan hanya pada hari raya sahaja barulah kami dapat berkumpul beramai-ramai,” jelasnya.

Sama seperti Miera yang pernah mengalami kecederaan ketika menyambut hari lebaran, Kilafairy juga pernah melalui situasi yang hampir sama apabila jarinya tercedera setelah tersepit pintu kereta. 

Menurutnya, kejadian jarinya tersepit berlaku sewaktu kecil dahulu akibat gemar berebut-rebut tempat duduk hadapan kereta ketika hendak memulakan perjalanan pulang ke kampung sehari sebelum raya.

“Kejadian itu berlaku semasa saya dan kakak masih kecil lagi. Ketika berebut-rebut itu akhirnya saya berjaya dapat tempat duduk hadapan, namun ketika itu tangan saya masih lagi di pintu dan kakak yang tidak perasan terus menutup pintu tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, akibat tindakan kakaknya itu telah menyebabkan tangannya tersepit dan terus dikejarkan ke hospital, tetapi kecederaan yang dialami tidak terlalu parah. Malah, perjalanan pulang ke kampung juga terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dia menyambut 1 Syawal dengan jari yang berbalut. 

Seorang lagi pelakon yang terbabit dengan kontroversi membaling telefon bimbit baru-baru ini, Nur Fathia Abd. Latiff menceritakan dia pernah menyambut 1 Syawal seorang diri di asrama.

Ujar Fathia, kisah dia terpaksa menyambut Aidilfitri di asrama terjadi ketika menjadi penuntut tahun pertama jurusan praundang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.

“Memandangkan saya agak sibuk dengan kuliah dan tugasan menyebabkan saya terlupa untuk membeli tiket bas, sedangkan pelajar-pelajar lain semuanya sudah beli lebih awal tiket bas untuk pulang ke kampung masing-masing.

“Apabila saya pergi ke terminal bas, semua tiket sudah pun habis dan akhirnya saya terpaksa keseorangan di asrama pada pagi hari raya. Hanya pada hari kedua barulah ahli keluarga dapat jemput saya,” ujarnya yang menjadikan insiden tersebut sebagai pengajaran yang cukup berguna.

Selain itu, pelakon berkenaan juga mempunyai satu lagi insiden yang cukup melucukan ketika menyambut Aidilfitri apabila bajunya terbakar ketika bermain bunga api di kampungnya yang terletak di Pengkalan Pegoh, Perak.

“Apa yang saya ingat insiden tersebut berlaku semasa berumur 13 tahun ketika bermain bunga api beramai-ramai. Secara tidak sengaja baju saya telah terkena bunga api yang dimainkan oleh salah seorang sepupu saya.

“Memang agak kelam kabut juga keadaan pada masa itu dan saya memang cukup bernasib baik apabila datuk saya perasan baju saya terbakar. Akhirnya dia dengan segera memadamkannya dan tidak ada sebarang kecederaan yang menimpa saya,” ujarnya.
DARI atas: Miera, Fathia dan Kilafairy mempunyai memori raya dengan versi tersendiri.

Miera raya dii London

Sambutan perayaan Aidilfitri kali ini ternyata memberikan satu kelainan buat Miera berbanding pada tahun-tahun sebelumnya apabila mereka sekeluarga telah merancang untuk menyambut hari lebaran di luar negara.

Menurut pelakon berkenaan, perancangan untuk beraya di luar negara itu sudah lama dirancang oleh ibunya dan tiket penerbangan ke London, England telah pun dibeli beberapa bulan yang lalu.

“Memandangkan setiap tahun kami menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur, maka keluarga saya membuat keputusan untuk merasa suasana berhari raya di luar negara dan akan disertai dua buah keluarga lagi.

“Bagaimanapun, kami tidaklah akan bertolak ke sana pada malam raya. Sebaliknya, kami tetap beraya selama seminggu di Kuala Lumpur dan selepas itu barulah kami akan berada di sana selama dua minggu,” ujarnya.

Tambah Miera lagi, antara sebab utama keluarga membuat keputusan sedemikian adalah untuk meraikan hari raya bersama beberapa orang saudara yang telah lama menetap di negara tersebut.

Namun begitu, secara jujurnya, dia meluahkan berasa tidak terlalu teruja, meskipun akan merasai pengalaman kali pertama berhari raya di negara asing.

“Kalau nak diikutkan memang agak sedih sebab tidak dapat berhari raya dengan lebih lama bersama rakan-rakan yang lain. Malah, sudah tentu juadah di sana juga agak berbeza dengan juadah yang terdapat di sini,” ujarnya. 

Selain itu, pelakon tersebut turut memberitahu mengenai salah satu sikap buruknya sewaktu kecil dahulu iaitu suka meminta duit raya daripada tuan rumah sehingga kerap ditegur ayah dan ibunya.

Kilafairy cuti seminggu

Jika kebanyakan artis yang lain mengambil cuti yang panjang untuk menyambut hari lebaran, namun Kilafairy memberitahu dia hanya sempat beraya selama seminggu sahaja disebabkan jadual kuliah dan kerjaya seni yang padat.

Ujarnya, tahun ini dia sekeluarga akan pulang beraya di kampung halaman bapanya di Besut, Terengganu memandangkan pada tahun lalu mereka sudah menyambut hari lebaran di kampung ibunya di Kota Tinggi, Johor.

“Bagi saya sambut hari lebaran di mana-mana pun saya tak kisah dan kami sekeluarga selalu menyambutnya secara sederhana. Saya sendiri sekadar menyediakan tiga pasang baju sahaja.

“Cuma sambutan pada tahun ini sudah tentu sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Kalau sebelum ini orang hanya lebih mengenali ibu sebagai penyanyi, tetapi sekarang saya juga akan beraya sebagai seorang artis,” ulasnya.

Jelasnya lagi, selain agak sibuk dengan jadual kuliahnya, Kilafairy memberitahu sepanjang bulan Syawal ini dia turut terbabit dengan beberapa program raya bersama-sama dengan ibunya. 

Fathia tolak tawaran

Meskipun namanya sebagai pelakon kini sedang memuncak, namun Fathia memberitahu dia telah mengambil keputusan yang agak drastik untuk berehat sementara daripada lapangan seni lakonan.

Berkemungkinan besar, pelakon yang sedang hangat menerusi drama bersiri Stanza Cinta itu hanya akan kembali berlakon semula pada tahun hadapan disebabkan beberapa faktor.

Menurut pelakon tersebut, dia sebenarnya sudah tidak terbabit lagi dalam sebarang penggambaran drama sejak bulan puasa yang lalu. Malah pada bulan Syawal ini dia turut menolak beberapa tawaran berlakon.

“Memang ramai yang tertanya-tanya tentang keputusan yang saya buat, namun pada bulan Ramadan yang mulia ini saya sebenarnya mahu lebih memberi tumpuan untuk menjalani ibadah puasa.

“Pada bulan Syawal pula saya akui ada menerima beberapa tawaran lakonan termasuk filem, tetapi saya terpaksa tolak. Memandangkan Aidilfitri hanya disambut setahun sekali, jadi saya mahu menyambut sepuas-puasnya bersama ahli keluarga,” jelasnya.

Menurutnya, pada bulan September ini juga dia akan kembali menjalani kuliah di UiTM Shah Alam dan sepanjang pengajian dia sememangnya tidak akan berlakon bagi mengelakkan pembelajarannya terjejas.

“Biasanya saya akan menjalani penggambaran pada cuti semester sahaja. Lagipun pengajian saya dalam jurusan undang-undang sudah pun masuk pada tahun ketiga dan sebab itu saya perlu berusaha dengan lebih keras lagi.

“Namun begitu, ia bukan bermakna saya akan menolak terus sebarang tawaran dan akan menerima jika diminta untuk berlakon iklan komersial memandangkan tempoh penggambaran biasanya mengambil masa sehari sahaja,” ujarnya. 

Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment