11 September 2011

Izara jaga hati emak

pix_middle
IZARA Aishah Hisham hadir dalam gelombang pelapis yang meraih populariti dalam tempoh singkat. Cukup bertuah kerana dalam enam bulan, gadis jelita ini mampu meraih kepercayaan banyak pihak untuk menyuntingnya sebagai pelakon. 

Tidak perlu merangkak atau bertatih mencari ruang apabila dia diberikan watak utama dan penting meskipun pengalaman di dada sejengkal cuma. Barangkali datang dalam pakej sempurna, maka laluannya mudah. 

Naib juara Dewi Remaja 2010 ini pernah mendapat bimbingan Fauziah Nawi dalam pementasan teater Tok Rimau ketika berusia 12 tahun. Meskipun masih mentah, pendedahan yang diberikan pelakon dan pengarah berkarisma itu membuka matanya memahami apa itu dunia persembahan.

Kebetulan, seni tarian teman sejatinya, maka peluang beraksi di pentas teater mencambahkan rasa cintanya terhadap seni lakon. Pun begitu, kecenderu­ngan itu terhenti lantaran perlu fokus terhadap rutin hariannya sebagai pelajar dan kembali mencanai bakatnya baru-baru ini.

Langkahnya menyingkap tabir seni bukan main-main. Pilihan itu hadir atas dasar cinta bahkan azamnya mahu menggenggam kejayaan seperti dikecapi idolanya, Datuk Siti Nurhaliza. Meskipun cabang seni mereka berbeza namun pencapaian penyanyi nombor satu negara itu menjadi panduan serta pedomannya. 

Foto


















“Alhamdulillah, rezeki saya tak pernah putus sejak enam bulan lalu. Saya rajin menghadiri uji bakat dan dikelilingi rakan yang baik hati. Mereka tidak lokek berkongsi peluang depan mata, jika ada uji bakat mereka akan ajak, lebih-lebih lagi Neelofa. Ada juga tawaran yang datang dari syarikat produksi.

“Pertama kali di lokasi penggambaran, memang perit. Gemuruh satu badan tapi saya berusaha menenangkan diri. Saya persiapkan diri dengan cuba memahami karakter sedalam mungkin dan melakukan banyak penyelidikan.

“Selepas drama Hantu Gigi, Kasih Najihah dan Kerana Mu Laila, saya mula rasa selesa dan lebih yakin. Dalam Kerana Mu Laila saya dapat kepercayaan memegang watak utama dan ia satu pengalaman yang sangat berharga bagi orang baru seperti saya,” katanya yang anggun menggayakan busana rona biru firus dari butik Fiza Azulkarnain Couture.



Pabila memandang menjaga wajah anggunnya pasti ramai berbisik betapa bertuahnya gadis ini. Dengan kelebihan itu pasti tidak sukar untuknya membeli hati penerbit filem dan drama tempatan untuk menyuntingnya sebagai pelakon. Jika itu yang terlintas di benak, lupakan saja kerana tegas Izara, cantik bukan sandaran utama sebaliknya perlu disempurnakan dengan bakat.

“Jika mahu berbicara mengenai cantik, ramai pelakon baru yang cantik muncul tahun ini. Justeru itu bakat didahulukan daripada rupa. Jika tidak boleh berlakon dan bersandarkan rupa semata-mata orang tidak akan panggil.

“Jangan tak percaya, awal pembabitan macam-macam kritikan dan usikan pedas terpaksa saya telan. Ada kru cakap saya tidak boleh berlakon dan tidak boleh pergi jauh. Walaupun mung­kin mereka sekadar me­ngusik tetapi bagi orang yang baru belajar seperti saya, kata-kata itu boleh mematahkan semangat. Mujur saya jenis tebal telinga dan muka.

“Biarpun ada ketikanya hati sakit, saya tidak menangis. Ada juga kawan-kawan yang pandang rendah tetapi saya tak peduli. Saya anggap kata-kata itu sebagai satu cabaran dan akan buktikan saya boleh berlakon,” katanya yang bercita-cita membuka perniagaan fesyen dan berhasrat mereka kasut apabila karier sebagai pelakon stabil kelak.

Berbeza kebanyakan pelakon, Izara berpegang kuat kepada peringatan dan nasihat ibu tercinta. Tidak sesekali dia akan mendedahkan tubuh badannya semata-mata memenuhi tuntutan watak. Biarlah dituduh konservatif kerana sebagai anak yang perlu lebih diutamakan adalah nama baik keluarganya. 


Foto

 
















Dari kecil anak sulung tiga beradik ini dididik dengan adab dan etika oleh ibu yang memikul status ibu tunggal. Justeru itu tidak sampai hati dia melukakan hati insan paling disayangi itu.

“Saya sudah berjanji dengan mama untuk menjaga maruah diri dan nama baik keluarga. Selagi boleh saya akan elakkan watak yang menuntut saya mendedahkan bahagian badan hingga nampak terlalu seksi.

“Dalam Kerana Mu Laila saya diminta berkemban tetapi saya tolak dengan baik. Mujur pengarah faham dan tidak memaksa. Saya gantikan babak berkemban itu dengan memakai jubah mandi.

“Bagi saya dalam apa saja perkara kita ada pilihan dan hak memilih. Bukan mengada-ngada tetapi jika ia mengundang tanggapan kurang manis di kemudian hari, ada baiknya dielakkan. Berada dalam bidang ini dengan restu mama pun sudah cukup bermakna, saya tidak mahu kerana terlalu ghairah mengejar tawaran, saya hilang kepercayaan mama.

“Mama adalah segala-galanya kepada saya. Mama bukan saja ibu tetapi juga bapa bagi kami adik-beradik. Hubungan saya dan mama sangat rapat malah kami tidak pernah berjauhan. Jika ada penggambaran luar Kuala Lumpur, mama minta saya balik hari dan jika tidak boleh, seorang daripada ahli keluarga akan temankan saya. Saya hargai keprihatinannya dan sama sekali tidak akan melukakan hatinya,” kata anak manja ini. 

Foto
 
Selain berlakon, Izara mahir menari bahkan aktiviti sudah sebati dengan dirinya sejak kecil. Ketika berusia lima tahun dia menari dalam sebuah acara Bollywood dan aktif menari tarian tradisional di sekolah serta menyertai pertandingan hingga peringkat kebangsaan. Bahkan dia pernah menari tarian hip hop untuk Hotlink ketika berusia 12 tahun.

“Sudah banyak pertandi­ngan tarian yang saya sertai. Ia bagaikan sahabat karib saya. Apabila tertekan saya akan menari sampai keletihan dan tertidur. Dengan cara itu saya dapat lupakan segala perkara atau masalah yang mengganggu fikiran.

“Diharap dengan kemahiran ini, satu hari nanti saya berpeluang beraksi dalam filem atau drama muzikal,” katanya yang nampak matang biarpun baru berusia 19 tahun.

Terbaru, Izara menjalani peng­gambaran siri Soffiya terbitan Filmscape untuk slot Akasia TV3 di samping pelakon hebat, Tiz Zaqiyah. Bergandingan dengan Tiz sememangnya dinanti-nantikan, apatah lagi kali ini dia melakonkan watak gelap sebagai Fiona yang sering menyakiti Sofiyya lakonan Tiz.

“Pertama kali lihat lakonan Tiz, bulu roma saya meremang. Dia memang pelakon hebat dan saya sangat mengagumi kebolehannya menjiwai watak dengan berkesan.

“Sebelum penggambaran bermula, dia nampak sangat santai malah membelek skrip sambil ketawa riang tetapi apabila tiba giliran beraksi depan kamera, dia berubah mengikut kehendak karakter,” katanya.

Metro Ahad

No comments:

Post a Comment