14 September 2011

Yusry, Lisa belum rancang perkahwinan

YUSRY dan Lisa sibuk dengan jadual karier masing-masing.

YUSRY ABDUL HALIM sejak akhir-akhir ini sering menjadi bahan berita sensasi hasil hubungannya dengan aktres jelita Lisa Surihani. Ada media yang melaporkan Yusry, 38, dan Lisa, 26, bakal berkahwin pada tahun 2012 dan ada juga melaporkan pasangan sama cantik sama padan ini akan bergelar suami isteri menjelang 2013.

Sama ada ia bakal dilangsungkan pada tahun 2012 atau 2013, laporan yang dikeluarkan beberapa media tersebut membuatkan pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa itu tidak betah lagi untuk berdiam diri.

Sebelum ini, ada laporan media yang mengatakan Yusry mahu mengahwini Lisa pada tahun hadapan, namun Yusry telah menafikan perkara tersebut. Kemudian timbul pula, laporan baharu mengatakan Yusry ingin berkahwin dengan Lisa pada tahun 2013. 

Lantas, pertemuan Kosmo! bersama Yusry dan Lisa di rumah terbuka raya abang Yusry, Norman Abdul Halim di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini, menjadi tempat jejaka pendiam itu meluahkan segala-galanya secara telus.

“Saya tidak pernah beritahu akan kahwin dengan Lisa sama ada pada tahun 2012 atau 2013. Memang saya akui kami mempunyai hubungan tetapi kami belum lagi membuat sebarang perancangan untuk berkahwin,” katanya perlahan tetapi dengan nada serius.

Suasana tegang seketika itu kembali tenang tatkala Lisa yang berada di sebelah Yusry cuba menenangkan buah hatinya itu.

Ujar Lisa yang tidak putus-putus menguntum senyum sepanjang sesi temu bual itu: “Sekarang kami berdua memang sibuk. Lisa akan sibuk menjalani penggambaran filem baharu berjudul Istanbul Aku Datang manakala Yusry pula sedang merangka untuk filem terbarunya Vikingdom. Jadi, untuk merancang berkahwin dalam masa terdekat ini memang tiada.”

Walaupun keluarga kedua-dua belah pihak sudah bertemu tetapi perancangan ke arah melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat masih tidak ada. Malah, pada majlis rumah terbuka Norman itu, kelibat ahli keluarga Lisa juga turut kelihatan.

Yusry dalam pada itu mengakui akan memaklumkan perkhabaran gembira mengenai hubungannya dengan Lisa kepada peminat termasuk pihak media untuk mengelak sebarang spekulasi.

Dia juga menolak dan tidak suka dengan gelaran bahawa mereka sedang bercinta.

“Perkataan bercinta itu seolah-olah macam hubungan kami ini main-main. Saya lebih suka kalau hubungan kami ini disebut hubungan matang,” katanya.

Lisa enggan berlakon dengan Yusry
Tamat bercerita tentang kahwin, Yusry tanpa berselindung berkongsi perasaan gembiranya menerima hadiah daripada Lisa.

Malah, hadiah pemberian Lisa itu dianggap terlalu istimewa kerana ia menepati apa yang Yusry mahukan.

“Saya beritahu Lisa, kalau boleh saya nak pakai kain samping yang readymake, siap boleh dipakai terus. Jadi mudah dipakai. Tak sangka dia betul-betul buat samping tersebut malah menghadiahkan tiga set kain samping siap kepada saya,” ujarnya.
HUBUNGAN Yusry dan Lisa sering menjadi bahan sensasi media sejak akhir-akhir ini.
 
Malu dengan pengakuan Yusry itu, Lisa kemudiannya memberitahu, “Dia (Yusry) cakap mahu kain samping yang ada zip dan poket di belakang tetapi saya rasa macam kelakar pula kalau poket tu berada di belakang. 
 
“Jadi, saya beritahu pereka Nazir Idris untuk buat samping yang ada poket di tepi sebelah kanan manakala zip pula berada di kedudukan tepi sebelah kiri”.

Tatkala itu juga Yusry bangun menunjukkan samping tersebut sambil Lisa menunjukkan kedudukan zip serta poket yang terdapat pada samping tersebut. 

Jelas terbukti, pasangan romantis itu kelihatan benar-benar bahagia dalam alam percintaan mereka itu.

Dalam pada itu apabila diaju persoalan kepada Lisa adakah dia mahu berlakon di samping Yusry suatu hari nanti, kata Lisa dia menolak berlakon dengan Yusry kerana malu.

Luahnya: “Saya tak mungkin berlakon dengan Yusry kerana saya malu. Mungkin lakonan saya tidak akan menjadi sebab asyik nak tergelak.” 

Projek baharu
Beralih pula soal kerjaya lakonan, Lisa bakal menjalani penggambaran ke Istanbul selama 20 hari untuk filem Istanbul, Aku Datang.

“Filem Istanbul, Aku Datang akan menjalani 100 peratus penggambaran di Istanbul dan saya membawakan watak utama iaitu Dian,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Filem terbaru terbitan Red Films itu bakal diarahkan oleh Burnard Chauly dan turut dibintangi pelakon hebat Beto Kusyairy dan penyanyi terkenal, Tomok.

Sebelum ini Red Films pernah menerbitkan filem-filem terbaik antaranya Pisau Cukur, Gol & Gincu dan Kami The Movie. Sebuah lagi filem terbitan syarikat ini yang sedang menanti tayangan ialah filem Songlap yang dijadual ditayangkan pada 15 Disember depan.

Istanbul, Aku Datang dijadual ditayangkan pada tahun depan. Selain filem itu, Lisa kini sedang menanti tayangan filem Ombak Rindu dan Papa I Love You.

Beralih pada projek KRU akan datang pula, selepas kejayaan filem Hikayat Merong Mahawangsa, KRU Studio bakal menghasilkan filem terbaru antarabangsanya, Vikingdom.

KRU yakin untuk menghasilkan satu lagi filem bergenre epik selepas filem Hikayat Merong Mahawangsa meraih sambutan positif daripada penonton. 

“Filem Vikingdom itu akan menampilkan pelakon-pelakon antarabangsa dan ia menggunakan bahasa Inggeris 100 peratus. Filem ini juga menampilkan penulis skrip Inggeris bernama James Coine,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Filem arahan Yusry itu juga menggunakan teknologi 3D stereoscopic seperti filem aksi pecah panggung Hollywood, 300 dan Avatar. 

Vikingdom bakal ditampilkan dengan penuh aksi pantas termasuk penceritaan membabitkan sejarah masyarakat Rom, China dan Malaysia sekitar dua dekad lalu. Ibarat kisah dongeng yang menyatukan Barat dan Timur. 

Kosmo!

No comments:

Post a Comment