KEMESRAAN jelas kelihatan antara aktor Johan Ariff As’ari, 25, dan
aktres popular Fasha Sandha, 27, pada majlis rumah terbuka aktres
tersebut yang diadakan di Chinta Salon di Wangsa Maju, baru-baru ini.
Saling mengusik antara satu sama lain, Johan bagaimanapun dilihat
tersipu-sipu malu apabila diminta bergambar secara romantis bersama
kekasihnya dalam drama Cinta Elysa itu.
Tidak menyembunyikan getaran hatinya apabila bertentang mata dengan
Fasha, kata Johan dia sudah lama meminati Fasha dan tidak menyangka
dapat berlakon bersama dalam Cinta Elysa yang kini sedang hangat
ditayangkan di TV3.
“Jangan salah sangka pula, saya minat Fasha selaku seorang peminat
dan dia merupakan aktres idola saya sebelum saya menjadi pelakon
sehingga sekarang.
“Sebelum saya jadi pelakon, saya sering dengar daripada rakan-rakan
produksi yang dia seorang pelakon yang berdedikasi dan berdisiplin.
Tidak sangka pula saya cukup bertuah apabila dapat bergandingan menjadi
kekasihnya dalam drama,” tutur Johan dalam tawa.
Menceritakan semula detik-detik pertama kali bertemu Fasha secara
langsung, dia menemui idolanya itu dalam sebuah acara di Sabah. Perasaan
teruja dan gementar menyelubungi dirinya apabila dia berdiri
bersebelahan aktres tersebut.
Kemudian apabila mereka bertemu sekali lagi pada sesi bacaan skrip
untuk drama Cinta Elysa, akui Johan dia agak gementar bagaimanapun
pengarahnya Along Kamaludin meyakinkannya supaya membuang rasa gementar
tersebut.
“Pengarah meyakinkan saya supaya jangan terlalu rasa diri saya di
bawah kerana ketika berlakon, semua pelakon sama sahaja dan harus
menjalankan tanggungjawab untuk berlakon dengan baik.
“Fasha memang banyak membantu saya, dia banyak memberi tunjuk ajar.
Malah, dia yang mengajar saya untuk menangis dengan penuh emosi kerana
saya memang susah untuk menangis. Saya hormat dia sebagai senior saya
dalam bidang lakonan kerana pengalamannya lebih banyak,” tuturnya yang
meminati aktor Johnny Depp.
Johan makin popular
Johan yang merupakan bekas pelajar sekolah pondok di Pesantren
As-Syhada, Jambi, Indonesia dalam pengajian hafazan al-Quran itu
bersyukur selepas berlakon drama Juvana, rezekinya dalam bidang lakonan
kini datang mencurah-curah.
Bahkan tawaran yang datang kebanyakannya daripada syarikat penerbitan
drama popular. Sebelum berlakon dalam drama Juvana, Johan terlebih
dahulu berlakon dalam sebuah drama berjudul Penunggu Gunung Raya.
“Kiranya Juvana merupakan drama kedua saya. Alhamdulillah, rezeki
saya ada dalam bidang ini. Kalau nak ikutkan saya terlalu baharu dalam
bidang lakonan, pengalaman saya pun baru setahun sahaja,” katanya yang
mendapat sokongan keluarga untuk berlakon.
Bercakap mengenai populariti, tegas Johan dia hanya mencuba dalam
bidang lakonan kerana minat dan tidak menyangka namanya pantas meniti di
bibir peminat gara-gara watak Botak dalam Juvana.
“Semasa Juvana mula-mula disiarkan saya tidak sangka langsung yang
drama ini popular tetapi apabila ia semakin sampai ke penghujungnya,
bila saya keluar rumah orang mula panggil saya Botak.
“Saya terkejut apabila orang ingin ambil gambar dengan saya, tetapi
saya masih cuba menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan saya
perlahan-lahan.
“Apabila peminat menghargai saya bermakna saya berjaya berlakon
dengan baik. Jadi, saya berharap mereka akan terus memberi sokongan dan
saya akan terus cuba memberi yang terbaik,” luahnya yang telah
menghadiri uji bakat sebuah filem seram baru-baru ini.
Hubungan profesional
Walaupun baru sahaja berkenalan sejak berlakon bersama, kata Fasha, dia mengakui keserasian yang wujud antaranya dan Johan.
Bagaimanapun hubungannya itu hanya terbatas atas landasan profesional selaku seorang pelakon sahaja.
“Dia baik dan saya kenal keluarganya juga tetapi sebagai rakan sebab
kami berlakon bersama. Sebagai pelakon baharu, bagi saya dia sangat
berbakat dan seorang pelakon yang rajin bertanya untuk memperbaiki mutu
lakonannya.
“Saya selaku senior cuba berkongsi segala ilmu yang saya ada
kepadanya. Dia juga sedar yang dia pelakon baharu, jadi bila berjumpa
ketika sesi bacaan skrip, saya lihat dia sangat gugup.
“Bila ditanya mengapa gugup, dia kata tidak percaya dapat berlakon
dengan saya. Dia mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai minat
dan sifat ingin belajar yang tinggi,” kata Fasha.
Jejai di rumah terbuka
Dalam rumah terbuka Fasha, dia menjemput seramai 150 orang tetamu
yang terdiri daripada keluarga, teman, peminat, pelanggan salonnya dan
anak-anak yatim dari Rumah Perlindungan Anak-Anak Yatim Raudharul Jannah
tetapi jumlah tetamu yang hadir mencecah 300 orang.
Bagaimanapun dalam ramai-ramai tetamu yang hadir, mata tertumpu pada
seorang tetamu yang hadir iaitu Rizal Ashram (Jejai) yang sebelum ini
dikatakan sudah putus cinta dengan Fasha.
Adakah kehadiran Jejai menandakan hubungan mereka telah pulih semula?
Ketika disoal mengenai kehadiran Jejai pada Fasha, dia hanya menjawab:
“Saya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini. Sekarang saya hanya
beri tumpuan kepada kerjaya dan salon sahaja.”
Nampaknya rezeki Fasha semakin mencurah-curah, malah Fasha juga
mengakui tahun ini rezekinya melebihi daripada tahun-tahun sebelumnya,
terutama selepas dia membuka salon yang diberi nama Chinta Salon pada
tujuh bulan lalu.
“Syukur, rezeki lakonan dan salon mencurah-curah. Kalau saya tahu berniaga menguntungkan seperti ini sudah lama saya buka salon.
“Tetapi bukan mudah kerana perniagaan memerlukan modal yang besar.
Andai saya sudah tidak berlakon suatu hari nanti, salon ini yang akan
menjadi sumber rezeki saya,” luahnya yang kini mempunyai tiga orang
kakitangan di salonnya.
Impian Fasha untuk salonnya adalah untuk membuka cawangan di Johor
Bharu dan juga Kangar, Perlis atas permintaan yang tinggi di dua negeri
itu.
“Itu hanya angan-angan saya, harap-harap akan menjadi kenyataan
suatu hari ini. Saya memilih Johor Bharu kerana ia negeri kelahiran
saya dan permintaannya sangat tinggi begitu juga dengan Perlis,” katanya
yang menguruskan sendiri perjalanan salonnya itu.
Anugerah Skrin 2011
Jika tahun lepas nama Fasha tercalon dalam drama Bagaikan Sumayyah,
tahun ini namanya sekali lagi tercalon dalam drama berjudul Berkalung
Noda arahan M. Hitler Zami.
Meskipun drama itu merupakan sebuah drama yang bagus, tetapi ia
terpaksa bersaing dengan drama-drama lain yang tidak kurang hebatnya,
justeru, Fasha tidak meletakkan harapan yang tinggi dan menyerahkan
nasibnya pada pihak juri.
“Kalau menang, Alhamdulillah, kalau tidak menang tidak apa kerana
saya telah memberi yang terbaik. Bagi saya drama Berkalang Noda sebuah
drama yang bagus dan agak berat untuk saya kerana ia mengenai isteri
curang,” katanya yang akan muncul dalam drama berjudul Bawaku ke
Syurga.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment