06 September 2011

Kari ayam pencen pelengkap Syawal Ziana


RIUH suasana sesi fotografi tengah hari itu kerana lawak dan ceritera dari figura bersuara lantang, Ziana Zain. Masih kekal anggun dan langsing biarpun usianya sudah mencecah 43 tahun.
Sementara wajahnya ditatarias oleh Najeeb, mulutnya masih tidak berhenti berceloteh. Selepas memberikan 'pose' istimewanya buat jurugambar Shahril Azman Zain dengan menggayakan dua baju rekaan Lynda Rahim, Ziana tidak dibiarkan lama lantas ditemu bual mengenai sambutan rayanya tahun ini.
"Tahun ini saya menyambut raya di Shah Alam pada sebelah paginya dan kemudiannya pada sebelah petangnya pulang ke kampung halaman saya di Kampung Simpang Merlimau, Melaka," katanya ketika ditemui selepas sesi fotografi yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Lain nikmat lain bahagianya menyambut Syawal baik sang gerangan bujang atau yang sudah berkeluarga. Biar apapun situasi sambutan lebaran pastinya disambut meriah mengikut acuan masing-masing.
Bagi pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain ini jika sebelum berkahwin sambutan lebarannya dibuat di saat-saat akhir namun bila sudah berkeluarga dan memiliki empat orang anak semua persiapan harus dibuat terlebih awal. Tidak lagi mengutamakan diri sebaliknya keseronokan Syawal dibiarkan anak-anak merasai nikmatnya.
Tuturnya, rasa meriah hari rayanya juga berbeza sewaktu hidup membujang dan juga selepas berkahwin.
"Bila terkenang raya, masa zaman kanak-kanak sangat meriah. Masa itu suka sangat pakai baju baharu, pergi ke rumah-rumah orang dan kumpul duit raya.

Raya kanak-kanak

"Tetapi bila sudah ada anak kita sediakan dia macam-macam seperti baju melayu, jeans, kemeja serta capal dan biar mereka pula rasa keseronokan hari raya dengan pelbagai juadah dan sambutan raya ke rumah-rumah," kata ibu Ziana mengenai empat orang anaknya iaitu Muhammad Aiman Armin Zaharin dan Muhammad Amar Armin Zaharinserta kembarnya Muhammad Airil dan Siti NurQaseh Armin Zaharin.
Bagi Ziana memadai sahaja dua helai baju raya untuk dipakai sempena lebaran.
Bila terkenang raya, masa zaman kanak-kanak sangat meriah. Masa itu suka sangat pakai baju baharu, pergi ke rumah-rumah orang dan kumpul duit raya - ZIANA

"Cukup sahaja dua helai kain cotton yang dibeli di Kompleks Shah Alam untuk dipakai pada hari raya. Lagipun, saya memiliki sehelai lagi baju raya yang dihadiahkan oleh kawan," katanya.
Setiap kali Syawal, pasti juadah kegemaran menjadi pilihan utama santapan pelantun lagi Madah Berhelah itu. Jika orang lain membuat pilihan lemang dan rendang sebagai hidangan wajib tatkala menyambut Syawal sebaliknya bagi Ziana menu kari ayam pencen masakan ibunya menjadi pelengkap Aidilfitri.
"Memang tidak lengkap raya saya kalau tak dapat rasa masakan mak, kari ayam pencen. Rasa dan kuahnya yang istimewa kalau dimakan bersama nasi atau ketupat memang sesuai sangat. Setiap tahun pasti mak akan sediakan menu ini termasuk nasi impit dan kuah kacang," katanya yang juga hebat memasak.
Menyentuh mengenai rumah terbuka, penyanyi yang terkenal dengan trademark kening terangkat itu tidak lagi buat rumah terbuka selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Katanya, jika sebelum berkahwin dia punyai masa dan tenaga untuk buat rumah terbuka tetapi selepas memiliki cahaya mata kudrat untuk membuat rumah terbuka semakin terbatas.
Bukan itu sahaja, duta produk Slim World Beauty House itu juga terpaksa lebih selektif memilih tawaran nyanyian mahupun lakonan ketika ini.
"Jika dulu kita boleh terima apa sahaja yang ditawarkan tetapi selepas berkeluarga saya kena mengutamakan anak-anak," ujarnya.

Tidak hadir
Beralih pula mengenai projek terbaharunya, kata Ratu Pop Asia itu, buat masa ini dia masih menunggu 'lampu hijau' daripada penyanyi Sohaimi Mior Hassan untuk berduet lagu Misteri Cinta.
Ziana turut sedang dalam persiapannya menanti Konsert Pesta Raya bersama adiknya Anuar Zain pada 30 September ini.
"Selepas raya, saya dan Anuar akan sibuk buat latihan untuk konsert pesta raya yang akan berlangsung di Singapura pada 30 September ini," katanya.
Ziana juga menjawab mengenai isu kenapa dia tidak hadir ke rakaman Mentor Raya biarpun sudah menerima jemputan dan mengesahkan kehadiran.
"Sebelum ini pihak mereka merancang untuk buat rakaman Mentor Raya itu sebelum bulan puasa. Disebabkan itu saya terima tetapi akhirnya mereka beritahu terpaksa buat rakaman masa bulan puasa. Jadi, saya tidak dapat hadir ke rakaman Mentor Raya itu sebab masa bulan puasa jadual saya sangat sibuk," katanya yang juga terpaksa menolak tawaran berlakon drama kerana punyai komitment lain serta perlu menguruskan keluarga dan anak-anak.
Kali terakhir kelibat Ziana di layar perak dilihat menerusi wataknya sebagai nenek kebayan dalam filem KRU, Magika.

Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment