|
DI sebalik kebanjiran ramai pelakon-pelakon baharu yang mewarnai
industri lakonan ketika ini, ternyata usaha pelakon Natasha Sheila Abd.
Razak untuk menempatkan dirinya sebaris dengan pelakon-pelakon wanita
yang lain dilihat semakin berhasil.
Baru sahaja bergelar artis selama dua tahun, namun pelakon yang lebih
popular dengan nama Tasha Shila dengan pantas mencuri tumpuan ramai
menerusi lakonannya yang memberi impak kepada penonton.
Boleh dikatakan tahun 2011 adalah tahun yang sememangnya memberi tuah
kepada pelakon yang berasal Kuala Lumpur itu apabila namanya menjadi
sebutan ramai, meskipun lebih dikenali menerusi watak antagonis.
Menurut pelakon jelita berusia 24 tahun itu ketika ditemui baru-baru
ini, dia sangat bersyukur apabila namanya kini semakin menyerlah setelah
dua tahun bergiat secara aktif dalam bidang lakonan.
"Memang tahun ini dilihat cukup bertuah buat diri saya apabila
kehadiran saya dalam industri lakonan sudah mula disedari ramai pihak.
Malah, tawaran berlakon juga semakin banyak yang diterima.
"Walaupun kerap membawakan watak yang dibenci penonton, namun saya
tetap gembira kerana ia telah memberi impak yang positif sehinggakan
saya semakin diterima di dalam industri ini," ujar anak sulung dari tiga
beradik itu.
Menurut pelakon yang pernah membintangi filem Ratu The Movie itu
lagi, sememangnya dia tidak menyangka apabila pantas mengecap populariti
biarpun baru dua tahun bergelar anak seni.
Jelasnya, memandangkan industri lakonan sekarang ini dibanjiri dengan
kehadiran ramai pelakon-pelakon baharu, dia sendiri bertekad untuk
lebih fokus dalam karier yang diceburinya.
|
"Boleh dikatakan pelakon-pelakon baharu yang muncul sekarang ini
memang ramai yang berbakat. Sebab itu saya mahu lebih serius agar
kehadiran saya dalam dunia lakonan terus diterima peminat.
"Meskipun terpaksa bersaing dengan pelakon-pelakon lain yang lebih
hebat dan berbakat, tetapi saya anggap itu sebagai satu persaingan
sihat. Malah, ini yang membuatkan saya perlu berusaha dengan lebih keras
lagi," ujarnya.
Pada masa yang sama, Tasha juga menafikan sekeras-kerasnya tohmahan
segelintir pihak yang mengatakan dia menceburi bidang lakonan kerana
mahu mengejar cinta golongan berstatus VIP dengan berbekalkan wajah yang
cantik.
Ujar Tasha, dia sedar tohmahan sebegitu pasti akan dihadapi pelakon
baru sepertinya, namun dia tetap bertegas bahawa pembabitannya dalam
bidang lakonan adalah semata-mata kerana minat yang begitu mendalam
serta mahu membantu menambah pendapatan keluarga.
"Memang saya tidak nafikan pernah mengenali ramai golongan yang
berstatus VIP ini. Itu pun disebabkan saya pernah bekerja selama
beberapa tahun di sebuah butik jenama terkenal sebelum bergelar pelakon.
"Kalau saya mahu, sudah tentu sejak dari dahulu lagi sudah saya
lakukan. Namun, langsung tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk
mencari kesenangan dengan jalan yang mudah," jelasnya.
Jadi penyanyi
Meskipun bakatnya dalam bidang lakonan dilihat semakin menyerlah,
tetapi pelakon jelita berkenaan meluahkan yang dia sebenarnya lebih
berminat untuk menjadi penyanyi suatu masa dahulu.
Jelasnya lagi, ramai peminat yang tidak tahu bahawa dia pernah
menjalani uji bakat rancangan realiti Akademi Fantasia pada musim ketiga
dan ketujuh. Bagaimanapun, rezeki ternyata tidak menyebelahinya untuk
menjadi salah seorang peserta dalam rancangan tersebut.
"Kalau dahulu apabila ditanya sama ada saya berminat untuk menjadi
pelakon atau penyanyi, memang saya akan memilih untuk menjadi penyanyi.
Sebelum ini, saya juga mendapat tawaran untuk merakamkan single, tetapi
ia senyap begitu sahaja.
"Sekarang ini saya tak sangka pula sekarang rezeki saya lebih terarah
ke bidang lakonan. Apa pun saya tetap berpuas hati dengan apa yang
dikecapi dan saya berharap dapat berdiri setanding dengan
pelakon-pelakon popular lain," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia masih berminat untuk bergelar seorang
penyanyi, Tasha menjelaskan impiannya menjadi penyanyi tidak pernah
padam. Cuma dia merasakan buat masa ini biarlah bakat seni yang ada
ditumpukan kepada berlakon sahaja.
Ujarnya, sebagai seorang pelakon baharu dia tidak harus terlalu
terburu-buru untuk mencuba bidang seni yang lain dan lebih baik
sekiranya dia menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman tentang
selok-belok dunia lakonan.
|
"Lagipun saya ingin buktikan kepada semua orang yang saya memang
mampu untuk menjadi seorang pelakon yang bagus. Saya tidak mahu orang
membuat persepsi negatif dengan mengatakan saya berlakon macam kayu dan
hanya bergantung kepada paras rupa untuk menjadi pelakon," tegasnya.
Solo
Dengan memiliki paras rupa menawan dan pastinya menjadi idaman serta
rebutan ramai lelaki, sudah tentu Tasha turut ditebak dengan persoalan
mengenai gerangan siapakah jejaka yang sudah bertakhta di hatinya ketika
ini.
Meskipun kalau dilihat adalah sesuatu yang tidak mustahil buat
dirinya untuk mendapat jodoh di kalangan lelaki kacak dan kaya, apa yang
menariknya Tasha mengakui dia kini tidak mempunyai teman lelaki.
"Mungkin ada yang tidak percaya saya masih lagi solo, namun itulah
hakikat sebenarnya. Apatah lagi dengan jadual lakonan saya yang terlalu
sibuk membuatkan saya belum terfikir untuk menjalinkan hubungan
percintaan.
"Ini bukanlah disebabkan saya terlalu memilih sangat dan meletakkan
kriteria tertentu kepada mana-mana lelaki yang cuba mendekati saya.
Malah, saya sendiri tak kisah kalau ibu saya mahu mencarikan lelaki yang
sesuai untuk saya," jelasnya.
Biarpun menyatakan dirinya sanggup menerima lelaki atas pilihan
keluarga, tetapi buat masa ini dia masih belum memikirkan tentang tempoh
untuk mendirikan rumah tangga dan mahu mengejar cita-citanya terlebih
dahulu iaitu bergelar pelakon yang berjaya.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment