|
SITI SALEHA, klasik namanya. Formula yang digunakannya untuk menapak
dalam dunia seni bermula daripada berlakon iklan, dilantik menjadi duta
kepada beberapa produk dan kemudiannya terlibat dalam dunia lakonan,
sehingga hari ini, namanya 'meletup' biarpun masih dianggap pucuk muda
yang baru berputik.
Drama bersiri Nora Elena yang ditayangkan untuk slot Akasia di
TV3 bagaimanapun secara total telah memperkenalkan figura genit itu
kepada khalayak tentang siapa sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum yang
baru berusia 21 tahun itu.
Apapun, populariti yang diraih pada hari ini bukan calang-calang
nilainya. Ada pengorbanan yang perlu ditempuh untuk berada di aras
terkini.
Perlu bersedia untuk menjadi figura umum yang pastinya akan ditatap
walau di mana dia berada, Saleha juga harus akur kadangkala privasinya
direnggut buat tatapan umum.
Namun, lebih selesa untuk tidak membicarakan perihal kehidupan
peribadinya berbanding kerjaya yang dibina, pertemuan bersama Siti
Saleha baru-baru ini lebih banyak melihat skop optimisme selaku artis
baharu.
Bermula dengan bidang lakonan iklan mahupun jurucakap produk,
pastinya Saleha tidak boleh lari daripada lingkaran yang sudah
dibikinnya itu. Namun ada syarat yang ditetapkannya.
"Kalau saya diberikan peluang untuk menjadi duta atau jurucakap
pastinya tidak akan ditolak, tapi saya akan melihat juga kepada
kesesuaian sesuatu produk dengan saya.
"Memandangkan kelompok peminat di negara kita kebanyakannya orang
Melayu, maka seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlibat dengan iklan atau
produk yang menjadikan diri saya sebagai simbol seks," katanya ketika
sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Malah, ujarnya tidak menjadi hal sekiranya dia diminta untuk memakai
tudung untuk penggambaran drama ataupun iklan dan akuinya juga dia cukup
selesa.
"Jelas sekali saya pernah memakai tudung dalam beberapa lakonan saya sebelum ini seperti Ustaz AmirulAlif Ba Ta, jadi pastinya tidak ada masalah untuk saya berkaitan isu itu," tambah gadis kacukan British-Belanda-Melayu itu. dan
|
Sama juga seperti soal berpakaian, Saleha menegaskan dia tidak ada
sebarang masalah untuk memilih mana-mana pereka pakaian yang sudi
menajanya, namun perlu sesuai dengan imej yang diciptanya selama ini.
Enggan menerima pakaian yang terlalu seksi atau menjolok mata, Saleha
mengakui dia kadangkala sedikit cerewet dengan solekan yang dikenakan.
"Saya bukan seorang yang demanding, sama seperti berlakon
drama atau iklan, apa yang datang semuanya rezeki untuk saya, tapi
tengok keadaan juga terutama berkaitan dengan solekan. Ada kalanya saya
kurang selesa dengan solekan yang tidak kena atau sesuai dengan saya,"
getus pelajar jurusan komunikasi di Kolej Inti, Subang, Selangor itu
lagi.
Anugerah Industri Muzik
Saleha ketika ditanya tentang keinginannya untuk menceburi bidang
lain selain lakonan seperti pengacaraan atau nyanyian mengakui dia
sememangnya berminat untuk menjadi pengacara.
"Tugas pertama sebagai pengacara adalah mengendalikan satu episod
gerbang Anugerah Industri Muzik (AIM) yang akan mengetengahkan mengenai
para karyawan muzik yang meraih pencalonan tahun ini.
"Memang saya minat bidang pengacaraan tapi seboleh-bolehnya saya
ingin mengendalikannya dalam bahasa Inggeris memandangkan itu keselesaan
saya berkomunikasi dengan lebih jelas," katanya yang bakal tampil
dengan filem Pukul Habis pada penghujung tahun ini.
Pukul Habis merupakan filem pertama lakonannya dan watak yang diberikannya adalah dambaannya selama ini.
"Dalam filem ini saya memegang watak wanita yang perlu melakukan aksi
bertarung. Jika selama ini peminat melihat saya sebagai seorang yang
feminin tetapi menerusi filem ini saya mempersiapkan diri dengan ilmu kickboxing untuk menjayakan watak," ujarnya yang bakal bergandingan dengan Aaron Aziz dan Johan Raja Lawak dalam Pukul Habis.
|
Antara Klang dan United Kingdom
Tidak kisah untuk berulang-alik dari kampung ayahnya, Mohd. Baharum
Abdul Rahman, 60, di Klang, Selangor ke kediaman ibunya, Tracey Johnson
atau nama Islamnya Aisyah Abdullah, 49, di United Kingdom (UK), Saleha
sudah kalis dengan dugaan yang ditempuhinya itu sejak berusia 10 tahun.
"Dari kecil lagi, apabila kawan-kawan datang ke rumah dan bertanyakan
di mana ibu saya, sudah menjadi kelaziman untuk saya berikan jawapan
yang sama.
"Ini dugaan yang saya tempuh dek penceraian kedua-dua ibu dan bapa
saya, tapi syukur buat masa sekarang sekiranya ada masa saya akan pulang
ke UK melawat ibu saya dan dia juga ada kalanya akan pulang ke Malaysia
dan mungkin juga mengejutkan saya dengan imejnya yang bertudung," kata
adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam, 24, itu.
Begitu pun, cerita Saleha, pernah bapanya memberikan kelonggaran
untuk dia menetap bersama ibunya di UK, namun dia memilih untuk setia
menjaga bapanya di Klang.
"Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), ayah pernah menyuruh saya
tinggal bersama ibu di UK tapi rasanya saya sudah selesa di sini,
bersama karier yang sudah kukuh, agak canggung jika saya memilih untuk
hidup di sana. Lagipun, saya boleh menjaga ayah di sini," bicara si
cantik menyusun frasa.
Ditanya apakah perkembangan dirinya dalam tempoh 10 tahun akan datang, Saleha nyata sudah ada gambaran yang jelas.
"Saya sekarang sedang menghabiskan pelajaran, supaya 10 tahun lagi saya mahu gembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya.
"Kalau boleh saya ingin buka sebuah syarikat produksi yang secara amnya boleh mengeluarkan produk iklan saya sendiri.
"Mungkin juga pada masa itu saya sudah berkahwin, menjadi 10 pelakon
wanita terbaik Malaysia dan kalau ada rezeki akan melebarkan sayap ke
negara jiran seperti Indonesia dan Filipina," tuturnya menutup bualan.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment