21 September 2011

Permintaan arwah adik


MEMPERTAHANKAN ikatan cinta sesebuah perhubungan dalam tempoh masa yang lama justeru mengekalkannya hingga ke jinjang pelamin bukan perkara mudah. Banyak rintangan dan dugaan perlu dilalui tambahan pula jika pasangan tersebut dikenali ramai contohnya seperti selebriti dan ikon terkenal.

Bagi pasangan selebriti tempatan, aktor Azad Jasmin dan isterinya, Eira Syazira, tiga tahun menyulam kasih banyak beri dugaan dan cabaran buat mereka. Namun, semuanya dilalui dengan reda dan tabah untuk bergelar suami isteri yang sah.

Hanya dengan sekali lafaz, Eira Syazira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi sah menjadi milik Azad Jasmin John Louis Jeffri yang dinikahkan oleh bapanya sendiri, Shuhaimi Haji Acheh dan disaksikan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abdul Manaf Mat.

Eira dan Azad yang anggun menyarungkan busana putih rekaan WanPa dan Hairi Tajuddin, hanya tersenyum dan di saat mereka telah sah, air mata gembira mengalir di pipi suaminya setelah selesai majlis akad yang berlangsung di rumah Eira di Putrajaya pada 16 September lalu.

Sepanjang ditemu ramah, Eira dan Azad tidak putus memanjat kesyukuran terhadap Illahi kerana diberi kelancaran dari mula majlis hingga selesai.

"Alhamdulillah, boleh dikatakan segalanya berjalan dengan lancar dan tiada masalah yang timbul. Namun, ada juga terdetik kerisauan kerana majlis kami ini dibuat pada saat-saat akhir begini.
EIRA SYAZIRA dan Azad Jasmin saling memahami karier mereka sebagai pelakon yang penuh dengan pancaroba.
 
"Syukur juga kerana berkat usaha ibu bapa Eira dan juga pihak keluarga Azad semuanya lancar. Tidak ketinggalan juga kerjasama yang diberikan oleh sanak saudara yang membantu bagi menjayakan majlis ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan baik seperti mana yang kami rancangkan," bicara Eira yang menerima mas kahwin sebanyak RM300 daripada pihak Azad.

Selain itu, Eira menerima sembilan dulang berbalas 11 dulang yang diberikan oleh pihak pengantin lelaki. Antara hantaran Eira merupakan seutas jam tangan berjenama Police, kasut jenama Aldo, sejadah berserta persalinan baju Melayu putih, dompet dan tali pinggang jenama Polo, minyak wangi dan penjagaan diri Davidoff, sepasang kemeja Valentino, jambangan coklat, buah-buahan, sebentuk cincin nikah, dan juga set barangan sukan pasukan bola sepak Chelsea.

Manakala Azad membalas sebentuk cincin berlian, sepasang kasut berjenama Charles & Keith, sebuah beg tangan Tod's jam tangan Fossil, senaskhah al-Quran, sepasang telekung serta sejadah, minyak wangi dari Mekah, tepak sirih dan juga iPad 2.

Bagi Azad yang kelihatan sedikit emosi berbanding isterinya, dia mengatakan saat disahkan menjadi suami kepada Eira, itu merupakan momen yang paling bermakna dan terdetik rasa sedih di dalam hatinya ketika itu.

Tambahnya, selain mengenai tuntutan dalam Islam, jejaka berumur 35 tahun ini berasa lega kerana dugaan yang dilalui selama tiga tahun bercinta akhirnya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Bukannya mudah ingin jadi mudah dan bukannya senang ingin jadi senang. Alhamdulillah hari inilah bermula detiknya hari saya bergelar suami kepada wanita yang saya cintai, Eira Syazira dan Eira juga telah sah bergelar isteri kepada Azad Jazmin.

"Dan itulah saat yang saya nantikan selama tiga tahun yang membuatkan saya sedih dan gembira yang teramat sangat," cerita Azad yang menahan perasaannya yang masih bercampur baur itu.

Cerita pasangan pengantin baharu ini, oleh kerana masa suntuk yang ada justeru majlis resepsi dianjakkan dan diadakan sedikit lewat untuk memberi ruang kepada keluarga masing-masing melakukan persediaan dan persiapan yang lebih teratur bagi majlis persandingan yang ingin diadakan kelak.

Selain permintaan ibu Eira yang ingin mempercepatkan pernikahan setelah pulang dari umrah, ada juga sebab lain yang mengukuhkan lagi hubungan ini untuk dibawa ke alam perkahwinan.

"Ini merupakan permintaan arwah adik saya yang sememangnya sangat rapat dengan saya iaitu Nizar Jeffri, 31, yang telah kembali ke rahmatullah pada Hari Raya AidilAdha tahun lepas. Dia terlalu mahukan saya berkahwin dengan Eira," bicara Azad sedikit emosi menceritakan pesanan terakhir arwah adiknya itu.

Lantas menyambung cerita suaminya itu, ujar Eira, sebelum itu dia rapat bersama arwah dan oleh itu, arwah pernah berpesan agar jika abang kesayangannya itu ingin berkahwin, dia hanya mahukan Eira yang menjadi pengantin kepada abangnya itu.
Azad melihat dengan tenang Eira menanda tangani sijil pernikahan mereka.
 
"Saya hanya mahukan Azad berkahwin dengan Eira sahaja. Itulah pesanan arwah kepada saya dan juga Azad. Jadi, Alhamdulillah, Eira rasa arwah juga gembira di sana kerana hajatnya akhirnya termakbul dengan ikatan pernikahan kami berdua ini," tutur Eira sopan menyusun kata sambil diperhatikan suaminya yang duduk di sebelah. Sempat bergurau semasa ditemu ramah, lelaki berkulit hitam manis ini mengatakan jika ikutkan hati, dari mula perkenalan dia sudah ingin mengajak Eira berkahwin.

Namun, hakikatnya, tempoh tiga tahun itu, digunakan sebaik mungkin oleh kedua-dua dramatis ini kerana ketika itu, masing-masing sedang sibuk membina karier yang sedang meningkat naik dan juga disebabkan oleh jadual harian yang agak sibuk.
Tidak letakkan syarat
Oleh kerana kedua-duanya menceburkan diri di dalam bidang yang sama, Azad sebagai suami menjelaskan bahawa, dia tidak ingin meletakkan syarat terhadap isterinya untuk meneruskan karier sebagai seorang pelakon dan penyanyi.

"Sekalipun ketika Eira mengandung, dan dia ingin menyanyi dan kariernya, saya tidak menghalang jika itu yang dimahukannya. Ini kerana, rezeki yang hadir itu semuanya dikurniakan oleh Allah SWT," tutur Azad juga mengatakan perancangan keluarga juga tidak dibuat dan menyerahkannya kepada rezeki yang diberikan Tuhan.
Kosmo!

No comments:

Post a Comment