|
JAUH dia berkelana, menjadi pemaustatin sementara di kota
metropolitan, Amerika Syarikat (AS). Mimpinya hanya satu, dia mahu hasil
karya yang sederhana dalam nuansanya mampu diperdagang di seluruh
dunia. Mimpi Yuna itu kini, sedang meniti di landasan yang tidak
tersasar.
Hal itu dapat dilihat pada figura sederhana berjiwa besar ini saat
menjadi saksi pada malam konsertnya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP),
Kuala Lumpur pada 13 September lalu. Dapat dilihat bahawa kelananya di
Amerika bukan kelana kosong.
Malah harus diakui, Yuna telah mengutip banyak pengalaman besar di kota Los Angeles, di California itu.
Sebaliknya kelana Yuna ke bumi tersebut kelana yang diisi dengan
pelbagai ilmu seni. Walau sesekali mempamer sifat malu, ironi, dia
tampil matang. Vokal, persembahan, komunikasi dan semua yang
dipertontonkan pada malam itu boleh dimasuk dalam kategori spektakular.
Itu yang dituang Yuna di atas pentas filharmonik pada malam konsert sulung dan solonya di pentas berprestij itu.
Sebagai bukti bahawa dia juga amat dipuja, konsert yang sepatutnya
hanya berlangsung sehari iaitu pada 12 September telah dilanjutkan
kepada 13 September kerana permintaan yang luar biasa.
"Saya terharu, terima kasih semua," begitu ringkas dan terdengar
ikhlas Yuna melontar rasa di sebalik mikrofon saat dia berdiri manis
berbaju kurung merah jambu di atas pentas.
Tidak tampil berlebihan, Yuna hanya ditemani sebuah gitar diiringi
rakan band yang selama ini serasi bersamanya. Masing-masing, biar lama
tidak bermain sama dengan gadis yang kini 'bermain' dengan banyak
pemuzik antarabangsa itu tampak cocok tanpa sedikit pun canggung.
Setiap lagu yang dipersembahkan, dialun dengan kemas dan
menyenangkan. Sementelah lemak merdu vokal Yuna membawa semua yang hadir
terkesima dan tenggelam dalam emosi masing-masing.
"Ada yang sudah menangis?," dia mengusik sebaik mendendangkan tiga
buah lagu termasuk Gadis Melayu yang menurut Yuna dibikin khusus untuk
menterjemah isi hatinya yang tidak akan berubah kerana permintaan orang,
sebaliknya suka menjadi diri sendiri sebelum menyambung: "Jangan
menangis dulu."
Barangkali menangis yang dimaksudkan Yuna kepada audiens pada malam
itu adalah bagaimana busur panah vokal dan persembahannya boleh menusuk
tepat di tangkai hati peminatnya. Jika itu yang dimaksudkannya, ia
adalah tepat kepada sasaran.
Menyambung persembahan dengan lagu Decorate yang cukup indah dengan
melodinya, Yuna menjelaskan: "Ini adalah lagu yang pada mulanya tidak
ingin saya rakamkan kerana durasinya yang terlalu pendek iaitu sekitar
satu minit.
"Bagaimanapun atas pujukan pengurus, saya rakamkan dan ia kini telah menjadi lagu kegemaran saya."
Kemudian gadis yang kini sedang hangat dibalut asmara bersama hos Qi
ini terus membawa audiens larut di dalam dunia seni kecilnya dengan
mendendangkan lagu-lagu hitnya seperti Gelora Asmara (nyanyian asal
Allahyarham P. Ramlee) dan Dan Sebenarnya.
Turut tidak ketinggalan adalah lagu Cinta Sempurna, Coffee, Penakut,
Memo dan Random Awesome yang dinyanyikan dengan cukup sempurna.
Di celah untaian lagu tersebut, Yuna turut menyelitkan lagu yang
dinyanyikan semula milik grup legenda Nirvana, Come As You Are. Malah
dia telah mendapat pujian daripada pengkritik muzik antarabangsa
mengenai versi dan susunan muzik yang begitu melankolik tetapi terdengar
'kasar' hasil kreativitinya.
Lebih daripada itu, dapat ditebak, selain menggemari lagu tersebut,
Yuna telah memilih strategi bijak dengan menyanyikan semula lagu
tersebut. Ia umpama pancing agar dirinya disedari dalam dunia hiburan
Amerika kerana Nirvana adalah grup muzik yang berasal dari negara
tersebut.
Fears & Frustrations yang bunyinya cukup terdengar antarabangsa
itu, tidak hairan menjadi salah satu lagu dalam daftar iTunes beberapa
bulan lalu. Teruja Yuna berkongsi rasa tentang pemilihan lagu tersebut,
lantas ia didendangkan dengan penuh jiwa terhadap aprisiasi pihak
antarabangsa memilih lagu dengan durasi lima minit itu dalam iTunes.
Menutup tirai persembahan selama sejam, Yuna memilih lagu baharu yang
dihasilkan di bumi orang, Let Love Come Through sebagai buah tangan
terbaik untuk konsertnya itu.
Sejam larut di dalam dunia Yuna, ia adalah dunia yang cukup
sederhana, namun mempunyai ruang yang terlalu besar dengan limpahan
karya seni yang cukup luar biasa. Dia juga umpama penyanyi wanita era
kini yang berada dalam wilayahnya tersendiri, tanpa perlu dibandingkan
dengan sesiapapun. Dan kehadirannya cukup untuk membuat muzik tanah air
berbangga kerana sekurang-kurangnya Malaysia mempunyai penyanyi generasi
kini yang bukan ikut-ikutan, tetapi mempunyai kuasa tersendiri.
Semoga kelana dan pencarian seni di negara orang dapat dimanfaat baik
oleh gadis yang bakatnya tercungkil keluar daripada kemodenan dunia
maya.
Enam bulan
Biar namanya semakin harum, gadis yang menjadikan Fiona Apple, The
Cardigans, Alanis Morissette dan Garbage ini tidak cepat terhipnosis
dengan godaan yang hadir. Dia masih terus mahu fokus terhadap apa yang
dikerjakan, sementelah mimpinya jauh lagi untuk menjadi kenyataan.
Mengaku sedikit sukar pada awal kedatangan ke sana, namun tiada
diskriminasi terhadap wanita bertudung sepertinya membuat dia selesa.
Seiring dengan aliran muzik, dia bereksperimentasi dengan fesyen.
Katanya: "Saya seorang yang eksperimental dan suka berfesyen. Saya
ingin mencipta sesuatu yang tersendiri. Muzik dan fesyen adalah medan
untuk saya mengekspresi diri."
Berada di Malaysia selama tiga minggu sebelum pulang kembali ke
Amerika, kata Yuna, dia berusaha untuk memberi yang terbaik buat
peminatnya.
"Justeru setiap enam bulan sekali, saya merancang untuk membuat
sesuatu buat peminat saya. Ia adalah sebagai harga balas terhadap
sokongan yang mereka berikan kepada saya walaupun saya jauh dari bumi
Malaysia. Insya-Allah, saya juga sedang merancang sebuah konsert
berskala besar," ujarnya.
Bercerita tentang perkembangan seninya di sana, Yuna memberitahu dia
telah menghasilkan 30 buah lagu untuk dimuatkan di dalam album
baharunya. "Semua adalah lagu berbahasa Inggeris, sesuai dengan konsep
antarabangsa yang mahu saya capai," katanya lagi.
Namun begitu, jujur Yuna, dia masih penasaran biar banyak karya telah
dihasilkan. Ini kerana menurut pencetus aliran fesyen muslimah dengan
gaya tudung dan imej santai, dia masih gagal bertemu magis seperti mana
terjadi kepada lagu Melayu yang menjadi fenomena, Dan Sebenarnya.
Katanya: "Saya masih mencari magis. Ini kerana belum ada satu lagu
yang saya hasilkan mampu memberi magis baharu selepas lagu Dan
Sebenarnya."
Kosmo!
No comments:
Post a Comment