KISAH cinta Juliana Evans dan Zizan Raja Lawak sudah lama bertebaran
di Internet. Namun kedua-duanya mengambil sikap jujur bahawa mereka
hanya kenalan dan masih menyemai cinta.
Sewaktu sesi fotografi ini diadakan, Zizan membawa buah hatinya
bernama Greysie - kucing kesayangannya yang kadangkala pemalu dan
terkadang aktif.
Bila ditanya kenapa dibawa, jawapannya jujur, Juliana mahu bertemu
mata dengan kucing penghibur kala sunyinya itu. Kemahuan sahabat
dituruti. Siapa kata mereka bercinta, kalau begitu, bukan?
“Mana ada kami bercinta? Memang tidak betul sama sekali tetapi saya
mengaku rapat dengannya. Kami pernah keluar bersama selepas penggambaran
filem tetapi bersama rakan-rakan yang lain termasuk pengurus Zizan,
Marina. Dia juga kawan saya,” kata Juliana.
Ujar Zizan yang kini semakin menjadi pilihan pengarah, tiada istilah cinta lokasi yang wujud antara mereka.
Rapat memang rapat namun jarang ada sesi pertemuan yang dibawa-bawa keluar selain di lokasi.
Penzahiran cinta ini dapat dilihat keserasiannya melalui filem Hantu
Bonceng yang memasuki pawagam pada Rabu lalu. Kedua-duanya membawa watak
utama dalam filem arahan Ahmad Idham ini.
Baru dan hijau lagi atas nama pelakon, mereka sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk dipertontonkan.
“Usai tayangan perdana ini saya lega sedikit sebab saya lihat orang tidak berhenti ketawa.
“Sebelum ini saya bimbang, orang akan ketawa pada peringkat awal tetapi mendatar selepas itu.
“Tetapi reaksi orang ramai di luar sana, saya belum tahu lagi. Itu
yang membuatkan saya berdebar-debar. Saya harap siapa sahaja yang
menontonnya terhibur,” ujarnya yang memegang watak Amran.
Buat Juliana, ini juga pertaruhan perdananya. Membawakan watak utama
bernama Maya dan Ayu, bukan dua karakter itu rupanya tentangan utama
dirinya.
“Aksi paling susah apabila saya kena memakai kanta lekap berwarna putih. Saya sungguh tidak selesa dan mata sentiasa berair.
“Sebab itu, apabila ada adegan yang memerlukan saya memakai kanta
lekap putih itu, saya akan melakonkannya dengan bersungguh supaya adegan
yang sama tidak perlu diulang semula.
“Saya boleh buka kanta lekap dengan segera,” luahnya yang sebelum ini muncul dalam filem Kami The Movie.
Usai cerita cinta kedua pelakon ini bertebaran, terbaru nama Zizan
disebut-sebut kononnya dia sudah berubah. Dia didakwa sudah naik kepala
dan bermegah dengan kehebatan dan kedudukannya sekarang.
“Saya tidak faham apabila dikatakan megah diri dengan apa yang saya
peroleh dalam kerjaya sekarang, sedangkan saya masih berpijak di bumi
nyata dan tahu asal usul saya.
“Mungkin ini tanggapan orang tetapi jujurnya tiada apa yang perlu
saya banggakan kerana banyak lagi perkara dalam bidang seni yang perlu
saya pelajari,” katanya jujur.
Satu sahaja kebenarannya, jika bagus penghayatan Zizan dalam filem
perdananya, kemungkinan besar cerita negatifnya akan tenggelam.
Sumber : Kosmo!
No comments:
Post a Comment