18 September 2011

Jatuh hati di Malaysia


SEBELUM melintasi Selat Melaka, lelaki dari tanah seberang ini hanya kenal nama Tan Sri P. Ramlee. Itu satu-satunya nama seniman milik Malaysia yang melekat dalam minda seperti yang diserapkan oleh guru lakonannya sepanjang mulai serius di lapangan lakonan.

Dalam naif, pemilik nama Hardy Hartono Danurussami, 27, itu turut mengakui, dia tidak pernah kenal mana-mana wanita popular dari Kuala Lumpur sebelum disunting dan tunduk bawah telunjuk sutradara, Erma Fatima.

Jangan salah anggap, hubungan mereka tidak dibumbui perasaan cinta sebaliknya kasih sebagai pelakon dengan pengarah semata-mata. Dari situ, nama Fazura dan Neelofa sudah begitu serasi di bibirnya, bahkan dengan pantas, dia mudah mengalirkan emosi saat digandingan bersama dalam Kitab Cinta yang pernah disiarkan di TV AlHijrah.

"Bila sudah dipertemukan dan bekerja dengan Erma, dia persis kakak-kakak, emak-emak sifatnya, garang tapi hatinya baik. Bila sudah bekerja dengan produksi di Malaysia baru saya tahu serba sedikit perkembangan industri di sini. Setahu saya juga, Erma pernah menuntut di Indonesia, jadi dia sangat sedar tentang membawa saya masuk ke sini dalam drama arahannya," ujar Hardy tersekat-sekat.

Mencari pesona daripada garis senyuman di wajahnya, ternyata sebagai penulis, saya juga masih mencari-cari faktor peledak yang bakal meletus daripada namanya.

"Setakat ini, lakonan adalah jalan hidup saya. Jika mulanya saya menyambut peluang yang datang, kesempatan itu harus saya jalani dengan ikhlas. Saya percaya, jika kita benar-benar ikhlas, berusaha untuk dilihat sebagai yang terbaik serta jadi diri sendiri, harus akan ada hasilnya," ujar Hardy yang mengakui semakin intim untuk kembali ke Malaysia.

Populariti mencanak
Menduga pandangannya, persoalan tentang populariti sengaja diusulkan. Apa benar sangkaan segelintir pihak, kelangsungan Hardy dalam drama Melayu di Malaysia hanya untuk mengukuhkan nama sementelah populariti di di tanah air sendiri tidak sehebat mana. Pendek kata, belum cukup popular untuk dijual namanya. Jadi di tahap mana, Hardy berdiri?

"Saya sifatkan saya ini masih anak-anak, masih bayi dalam dunia lakonan. Baru berlakon beberapa buah sinetron dan serta dua buah filem, Pengantin Topeng dan Not For Sale Keperawanan Bukan Untuk Di Jual. Saya terima tawaran berlakon karya Malaysia dengan fokus mahu menimba pengalaman dan keyakinan.

"Apabila saya keluar dari kelompok seharian, saya juga kenal budaya lain, maksudnya saya memperkayakan budaya kehidupan dalam hidup saya.
"Bagi saya, pandangan bahawa sanggup terima tawaran drama di Malaysia kerana belum popular di Indonesia itu satu pandangan nakal. Bagi saya, Erma sendiri, seorang pengarah besar di sini, namanya juga dikenali di kalangan orang Indonesia termasuk rakan-rakan saya seperti Samuel Rizal, dia juga pernah berlakon dengan produksi Malaysia dan masih mahu jika diberi peluang," katanya satu-persatu.

Antara model, pemain sinetron atau pelakon filem, Hardy memilih filem sebagai cabang yang mahu didalami.

"Kerja model itu menyenangkan tapi tidak mampu berterusan begitu, berlakon sinetron itu capek (memenatkan) kerana jumlah episod sangat banyak, tapi filem, walaupun ada banyak peringkat, praproduksi, penggambaran dan promosi sebelum tayangan tapi hasilnya lebih puas," katanya yang bermain dalam sinetron Aqso dan Madina, 1 Cinta Beda Rasa dan Dinda Kirana.
SEMAKIN mendapat tempat di mata penonton tempatan, Hardy Hartono akan kembali beraksi dalam siri Kitab Cinta musim kedua sekitar hujung tahun nanti.
 
Mengakui lagi, dirinya seorang yang suka menyendiri jika diberi pilihan, Hardy menyifatkan dia seorang yang pemalu. Mungkin atas sebab itu juga, pencinta sukan bola keranjang itu tidak ramai kawan dan dianggap sombong.

"Saya pemalu, lebih introvert dan jika diberi pilihan saya lebih suka berdiam tapi bidang menuntut sesuatu yang berbeza, mungkin sebab itu saya lambat dikenali berbanding teman seangkatan yang lain," katanya yang semakin mesra kala topik nama-nama kenalannya dipetik dalam perbualan.

Negeri 5 Menara
Dia mengakhiri pertemuan dengan satu khabar gembira. Selain khabar angin konon-kononnya drama Kitab Cinta akan dibawa ke pentas Istana Budaya, Hardy sempat memberitahu, dia juga terlibat sebagai salah seorang pelakon dalam projek sebuah filem besar adaptasi daripada novel popular, Negeri 5 Menara tulisan Ahmad Fuadi.

Besar hati atas peluang itu, kata Hardy: "Ramai pelakon besar lain terlibat seperti Ikang Fauzi, Andhika Pratama serta Lulu Tobing. Saya bawa watak salah pelajar dalam filem itu yang ketika sudah dewasa."

Sebelum bicaranya ditutup, ditebak hatinya lagi sama ada telah tertusuk panahan cinta di Kuala Lumpur, Hardy menunduk.

"Belum ada yang melamar, tapi kalau sudah jodoh di sini saya okey. Datang ke sini juga rasanya seperti balik ke rumah sendiri," tutur jejaka berdarah Belanda itu seperti berkias meninggal sebuah kenyataan, degup jantungnya ada tertinggal di sini.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment