|
KONTROVERSI ditangkap khalwat di sebuah premis perniagaan Jalan UP
1/2, Ukay Perdana, Ampang, pada Oktober 2008 yang dialami pasangan
pelakon, Norman Hakim atau Mohammad Nurhakim Zaidon, 35, dan Suhaiza
Suhaimi, 23, atau Memey kini menyingkap sejarah baharu dalam kehidupan
mereka apabila kedua-duanya selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga
Memey di Felda Tenggaroh 1, Kota Tinggi, Johor Sabtu lalu.
Dengan sekali lafaz, Norman sah bergelar suami kepada Memey sekali
gus menimbulkan perasaan sebak di hati kedua-duanya seumpama satu beban
besar telah terlepas daripada bahu masing-masing.
Kata-kata keramat yang dilafazkan Norman itu dilakukan di hadapan
Jurunikah Mukim Kamdau, Zulkipli Tarmizi dengan Memey diwalikan bapanya,
Suhaimi Sarwani pada pukul 4.45 petang tanggal 24 September lalu dengan
mas kahwin RM22.50 dan hantaran sebanyak RM24,000.
Rombongan pihak lelaki turut membawa lima dulang hantaran berupa alat
pengesan lokasi GPS, rantai belian, cincin berlian, kek buah-buahan,
sirih junjung, buah-buahan dan senaskhah al-Quran dibalas tujuh dulang
oleh pihak perempuan berupa I-Pad 2, cincin belian, coklat, anggur,
sirih junjung, kek lapis Sarawak dan senaskhah al-Quran.
Namun, apa yang lebih menyentuh emosi sudah pastinya kehadiran dua
anak Norman bersama bekas isteri pertamanya, Abby Abadi iaitu Mohamed
Danish Hakim, 8, dan Marissa Dania Hakim, 6, yang nyata berjaya
menambahkan lagi keceriaan di hati kedua-dua pasangan itu, biarpun anak
Norman, Maria Danish Hakim, 2, tidak hadir.
Kemesraan antara Norman, Memey dan kedua-dua Mohamed Danish dan
Marissa Dania ternyata bukan lakonan dan sudah pasti ia menjadi isyarat
kepada sebuah keluarga bahagia yang bakal dibina pasangan itu di masa
depan nanti.
Majlis akad nikah itu juga turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli
keluarga terdekat kedua-dua belah keluarga selain sanak-saudara dan
orang kampung serta pihak media.
Pada majlis itu juga mereka sempat mengenakan rekaan busana berwarna
coklat hasil sentuhan dan sumbangan daripada Ezuwan Ismail sekali gus
mengayakan rekaan berkenaan di atas pelamin yang disumbangkan Iezla
Bridal.
Majlis berkenaan termasuk majlis persandingan sebelah perempuan yang
diadakan keesokan harinya, juga di kediaman Memey merupakan sentuhan PLU
Creative yang berkonsep dalam taman dengan tema putih dan hijau dibina
khas di bawah khemah bersebelahan kediaman keluarga Memey.
Tidak cukup dengan itu, para tetamu yang hadir turut dihiburkan
dengan persembahan daripada band jemputan selain tarian zapin daripada
Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi.
Pada majlis persandingan tersebut, Norman dan Memey kelihatan anggun
mengenakan dua busana masing-masing daripada Hatta Dolmat untuk majlis
persandingan dan Rizman Ruzaini bagi majlis potong kek setinggi tiga
tingkat yang turut memaparkan wajah-wajah pengantin.
Sebelum itu, rombongan pengantin itu tiba pada pukul 2.45 petang
diiringi paluan kompang sekali gus menjadi tumpuan para tetamu yang
hadir termasuk orang kampung yang tidak melepaskan peluang mengambil
gambar pasangan tersebut yang pastinya menjadi salah satu koleksi
berharga.
Perkahwinan satu tanggungjawab
Menurut Norman yang merupakan bekas pelakon siri televisyen Gerak Khas,
perkahwinannya dengan Memey memberikan sinar baharu dalam kehidupannya
sebagai suami sekali gus memikul tanggungjawab sebagai nakhoda rumah
tangga.
Justeru tidak hairanlah, Norman sebak menerima amanah keluarga
perempuan selain terkenang kembali kisah dan kekurangan hidup pada masa
lampau.
"Saya rasa sebak dan hiba ketika ustaz membacakan khutbah nikah
kerana terkenang ketidaksempurnaan diri pada masa lalu. Pada masa sama,
saya kembali rasa tenang berikutan telah berjaya membina 'masjid' yang
merupakan satu ibadah, satu harapan baharu untuk kehidupan masa depan,"
luahnya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Norman yang kelihatan berseri-seri turut gembira ekoran upacara
bersejarah tersebut berjalan dengan lancar, tambahan pula lebih 5,000
tetamu termasuk orang kampung dan para peminat sudi memeriahkan majlis
persandingan itu.
Katanya, kehadiran ramai tetamu termasuk peminat itu merupakan satu
dorongan kepadanya untuk lebih berjaya pada masa depan sama ada sebagai
ketua keluarga mahupun dalam kerjaya. "Kesanggupan para tetamu hadir
juga membuktikan sokongan terhadap diri dan isterinya, " ungkapnya.
Bagi Memey pula, perkahwinan itu membuka lembaran baharu dalam
kehidupannya dan mengharapkan perkara yang terbaik dalam sisi kehidupan
berkeluarga.
Dia yang turut sebak ketika sah bergelar isteri kepada Norman,
berkata, perasaan sebak itu berlaku secara tiba-tiba setelah terkenang
kembali perkara yang pernah dilakukan dahulu serta satu kesyukuran
kerana akad nikah dapat berjalan seperti dirancang.
"Saya bersyukur kerana kini telah bergelar isteri dan ia satu cabaran
kepada saya untuk menjadi yang terbaik dalam kehidupan berumah tangga
agar dapat hidup bahagia. Ia juga memberi kekuatan dan menganggap apa
yang berlaku sebelum ini sebagai satu dugaan hidup untuk kehidupan masa
depan yang lebih baik."
Tambah Memey yang akan terus aktif berlakon selepas ini: "Anak-anak
Norman juga telah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan bersyukur
kerana mereka menerima saya seadanya."
Memey juga merancang untuk memperoleh empat anak dalam perkahwinan
tersebut selain pasangan itu merancang destinasi bulan madu di Paris dan
Mekah sambil mengerjakan umrah, namun tarikhnya masih belum diputuskan
ekoran kesibukan bekerja.
Bergegas ke Kuala Lumpur
Pasangan itu menjadi tumpuan ramai apabila bakal menerima tajaan
penuh daripada jenama barangan kemas, Rafflesia bernilai RM12 juta hanya
untuk majlis perkahwinan mereka yang akan diadakan di Hotel Crowne
Plaza Mutiara, Kuala Lumpur pada 28 September ini.
Selain itu, enam penaja lain turut bekerjasama dengan Rafflesia iaitu
Lord's Tailor, pendandan, Snips, Angsana Spa, Hotel Crowne Plaza, Kuala
Lumpur dan jenama kasut terkenal, Jimmy Choo.
Jadi tidak hairanlah, pasangan pengantin baharu itu tidak boleh duduk
lama di Kota Tinggi kerana perlu bergegas pulang ke Kuala Lumpur sehari
selepas majlis persandingan berlangsung.
Ini berikutan, mereka perlu menyertai latihan atau raptai untuk
majlis resepsi yang dikatakan turut dihadiri beberapa artis luar negara.
Pada masa sama, Memey perlu mencuba beberapa busana yang akan
diperagakan pada majlis bersejarah dan penuh gemilang bagi pasangan
pengantin baharu itu.
"Meskipun banyak perkara telah diselesaikan untuk majlis resepsi di
Kuala Lumpur, saya masih perlu menghadiri majlis raptai serta mencuba
pakaian yang disediakan.
"Saya juga ingin memastikan perkara-perkara berkaitan majlis tersebut
dapat disediakan dan barharap majlis berjalan dengan lancar," katanya
yang tidak menerima sebarang halangan daripada Norman sekiranya ingin
terus aktif dalam bidang lakonan.
Selepas majlis resepsi berakhir, Norman akan kembali bekerja dua hari selepas itu untuk berlakon dalam drama Tangisan Bulan Madu.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment