23 November 2011

Adibah Noor Nekad tidak Mahu Berkahwin


Adibah Noor gembira dikelilingi teman-teman rapat dan kucing-kucingnya. Foto SAMUEL ONG
PETALING JAYA: Penyanyi bersuara lantang, Adibah Noor, 41, nekad tidak mahu berkahwin kerana serik untuk bercinta lebih-lebih lagi dia pernah putus kasih sebanyak lima kali.
Adibah berkata, pengalaman pahit itu membuatkan penyanyi yang popular dengan laguTerlalu Istimewa itu tidak sanggup melalui masalah yang sama lagi.
"Bayangkan, lima kali saya putus cinta dan semua tak mahu berkahwin dengan saya. Dan sejujurnya, saya serik dan tak mahu kahwin.
"Dengan usia sebegini, lebih baik saya jaga diri sendiri serta keluarga dan fokus pada kerjaya seni. Alhamdulillah, keluarga tidak pernah mendesak, malah mereka faham dengan apa yang saya inginkan," katanya.
Tambah Adibah, sejak berstatus solo, dia mula membela kucing dan kini mempunyai hampir 20 ekor, malah binatang peliharaan kesayangannya itulah yang menjadi penghibur di rumah.
Bukan sekadar kucing, Adibah juga merasakan hidupnya cukup sempurna walaupun tanpa lelaki bernama suami di sisi kerana mempunyai teman-teman rapat yang sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.
"Saya mempunyai sekumpulan rakan perempuan yan masih lagi bujang dan kami telah berjanji untuk menjaga antara satu sama lain.
"Selain keluarga, mereka inilah yang sentiasa bersama saya ketika susah dan senang. Bagaimanapun, saya tidak menolak sekiranya takdir telah menentukan jodoh saya," ujarnya.
Dalam pada itu, walaupun dia sering menghiburkan pasangan-pasangan pengantin dengan membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan, hal itu tidak pernah menjadi satu emosi untuknya.
Malah, Adibah telah menghasilkan sebuah lagu baru khas buat pasangan yang bergelar 'Raja Sehari' berjudul Ke Sana Denganmu, dengan menampilkan rakan duet, Sam (Innuendo).
"Lagu tersebut akan menjadi single terbaru saya dan ia sebenarnya dihasilkan kerana saya kerap diundang menyanyi di pelbagai majlis perkahwinan dan seperti biasa, lagu-lagu sama sahaja yang dinyanyikan.
"Justeru itu, saya ambil inisiatif, apa salahnya kalau saya muncul dengan lagu baru khas buat pasangan pengantin pula. Kemudian, selepas muncul idea itu, saya menghasilkan lirik disamping Aznan Abu Hassan yang menghasilkan lagunya," Kata Adibah.
Sementara itu, Adibah bakal muncul sebagai pengacara program Fab Skuad bermula 26 November ini, setiap Sabtu, pukul 7.30 malam menerusi saluran TV3.
Fab Skuad merupakan sebuah program baru yang memaparkan sebuah pasukan skuad khas yang membantu surirumah atau wanita yang bekerjaya membersih dan menguruskan kediaman mereka.

No comments:

Post a Comment