APABILA berbicara soal cinta, ia terlalu luas dan subjektif. Apapun rasa itu anugerah terindah daripada Ilahi bahkan mampu membuatkan hidup insan lebih bermakna. Bagi si jelita yang kian bersinar namanya ini, cinta menjadikannya manusia lebih bersemangat, matang dan berfikir jauh ke depan.
Hidup seseorang boleh berubah kerana cinta. Biarpun ia tidak semudah yang disangka dan ada ketikanya mampu membuatkan air mata mengalir laju, cinta itu fitrah penting bagi setiap insan.
Justeru itu tidak perlu berselindung atau malu mengaku andai rasa itu bertandang di tangkai hati. Tidak seperti kebanyakan artis yang lebih gemar berahsia atau bermain tarik kali dalam soal hati dan perasaan, Siti Saleha Baharum, 21, cukup terbuka bahkan katanya, mengapa perlu mengalih topik kerana itu kebenaran yang harus diperjelaskan.
Andai benar bercinta, mengaku saja kerana penafian hanya akan membuatkan insan yang dikasihi berjauh hati. Mungkin ada pasangan yang berjanji dari awal untuk merahsiakan perkara itu sehinggalah ada ketetapan untuk mendirikan rumah tangga tetapi itu bukan caranya.
Dalam nada bahagia, bintang muda yang mula mendapat perhatian menerusi drama rantaian Nora Elena ini mengakui mempunyai kekasih hati. Jejaka yang bertakhta di hatinya itu berdarah kacukan Melayu Inggeris dan hubungan mereka terjalin sejak dua tahun lalu.
“Dalam soal cinta, selera orang berbeza-beza. Saya lebih mudah tertarik dengan jejaka Inggeris atau berdarah kacukan seperti saya tetapi sebaik-baiknya biarlah beragama Islam. Sebelum ini saya pernah berkawan dengan mat salih dan dia menunjukkan minat untuk memeluk Islam tetapi memandangkan cara pemikiran dan latar budaya agak berbeza, saya mengambil keputusan untuk menghentikan hubungan.
“Alhamdulillah teman lelaki saya sekarang memiliki ciri-ciri yang saya cari. Persamaan agama dan latar belakang genetik membuatkan perjalanan hubungan kami lebih mudah. Dia juga memahami kerjaya saya sebagai pelakon kerana kakaknya juga artis.
“Dalam tempoh dua tahun bercinta, kami pernah putus tetapi mungkin kerana kasih antara kami kuat maka hubungan bertaut kembali. Saya selesa berkawan dengannya bahkan ramai cakap muka kami hampir sama.
“Biarpun bab memujuk atau menenangkan saya dia kurang mahir tetapi setakat ini, dialah yang terbaik buat saya,” katanya tersenyum penuh makna.
Jika hati sudah suka, mungkinkah dia bersedia menamatkan zaman bujang dalam waktu terdekat? Dalam tawa aktres popular ini berkata, perkara ini pernah menjadi topik perbincangan di antaranya dengan buah hati namun dia meletakkan sasaran mungkin paling sesuai untuk melangkah ke alam baru apabila usia mencecah 25 tahun. Bukan menolak berkahwin di usia muda tetapi masih banyak perkara yang perlu didahulukan lebih-lebih lagi pendidikan dan karier lakonan yang kian menunjukkan perkembangan positif.
“Ada sesetengah orang tidak suka atau takut bercakap pasal soal kahwin tetapi saya terbuka dalam soal ini. Sepanjang berkawan dengan teman lelaki, kami ada bercakap soal kahwin dan berapa anak yang kami mahu.
“Buah hati saya selalu cakap mahu kahwin cepat apatah lagi usianya mencecah 25 tahun. Dia juga tak sabar mahu menghadiahkan cucu kepada ibu bapanya tetapi saya belum bersedia memenuhi hasratnya itu dalam waktu terdekat. Saya katakan padanya kalau paling cepat pun mungkin tiga tahun lagi tetapi itulah dalam bab jodoh, saya tidak berani cakap lebih-lebih kerana sebagai manusia kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan.
“Apapun saya tidak pernah berhenti berdoa semoga hubungan saya dan teman lelaki berkekalan dan hasrat kami melangkah ke jinjang pelamin diperkenankan Allah SWT,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.
Biarpun mahligai yang dibina ayah bonda tercinta berakhir dengan perpisahan, ia sama sekali tidak mengundang rasa was-was atau bimbang di hati Saleha untuk menikmati kehidupan berumah tangga.
Ujar Saleha, apa yang berlaku itu bersebab malah perpisahan berkenaan terjadi secara baik. Walaupun tidak lagi tinggal sebumbung, hubungan ibu bapanya masih rapat bahkan langsung tidak wujud istilah benci atau dendam antara mereka.
“Ibu saya berdarah Inggeris-Belanda dan bapa pula Melayu. Mulanya mereka menetap di United Kingdom (UK) dan semua anak dilahirkan di sana. Apabila pulang ke Malaysia, ibu tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem, budaya dan cara pemikiran orang di sini lalu mengambil keputusan berpisah dengan bapa.
“Kakak sulung ikut ibu pulang ke UK manakala abang, adik dan saya pula menetap dengan ayah di sini. Meskipun sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan ayah, mereka baik bahkan ibu taat dengan Islam. Sehingga kini ibu kekal bertudung malah aktif mengikuti kelas agama dan menunaikan solat Jumaat di masjid.
“Jauh bukan penghalang kami berhubung. Saya selalu merindui ibu dan jika ada kelapangan kami adik beradik akan menziarahinya di UK. Sambil-sambil itu boleh bercuti. Insya-Allah, jika tiada aral bulan depan saya akan ke sana selama sebulan. Inilah masanya menatap wajah ibu dari dekat puas-puas sambil merehatkan badan serta minda selepas 11 bulan sibuk dengan kuliah dan penggambaran,” katanya.
Beralih ke topik karier, ternyata tahun ketiga bergelar pelakon mula menampakkan bunga-bunga kejayaan. Drama rantaian yang diadaptasikan daripada novel berjudul Kasih Yang Suci, karya Meen Zulaikha melonjakkan nama Saleha sekali gus menjadikan wajah manis ini sebagai bahan bualan ramai.
Bukan sekadar tawaran berlakon semakin bertambah bahkan dia semakin mendapat perhatian media, stesen TV, penerbit serta pengarah. Lebih bahagia apabila impian beraksi di layak perak menampakkan sinar apabila banyak lamaran menyusul, namun tiga sudah ada ketetapan hitam putih akan memulakan penggambaran tahun depan.
“Sebelum ini ada beberapa tawaran tetapi saya tolak lantaran belum ada keyakinan dalam diri sementelah nama pun belum dikenali. Ada juga yang saya terima iaitu Taming Sari tetapi projek itu terbengkalai hingga ke hari ini. Saya letak harapan tinggi terhadap filem ini tetapi akhirnya hampa.
“Bagaimanapun selepas sambutan luar biasa Nora Elena, saya jadi bersemangat dan berani untuk kembali menyahut cabaran di skrin lebar. Harap-harap projek sudah dipersetujui iaitu Pak Pong, terbitan syarikat aktor Fauzi Nawawi, 14 Kerat dan Pukul Habis (White Merpati Sdn Bhd) berjalan seperti mana dirancang.
“Pak Pong filem epik fantasi di mana saya akan muncul sebagai Puteri Bunian. Menerusi filem ini juga saya perlu beraksi lasak dan sebelum penggambaran bermula akan mengikuti latihan mempertahankan diri. Menerusi filem seram, 14 Kerat dan Pukul Habis yang bergenre aksi komedi juga saya akan muncul sebagai watak utama. Mudah-mudahan tiga filem ini menjadi permulaan baik buat saya melangkah serius sebagai pelakon filem.
“Biarpun fokus saya tahun depan lebih kepada filem, insya-Allah saya tetap menerima tawaran drama, telefilem dan komersial,” katanya yang berjaya meruntun hati penonton menerusi persembahan berkesan sebagai isteri lumpuh menerusi telefilem Kekasih Awal dan Akhir arahan sulung Aaron Aziz yang ke udara di TV9, Rabu lalu.
Aktres yang teringin beraksi di samping Maya Karin, Vanidah Imran, Sabri Yunus, Tiz Zaqyah dan Remy Ishak itu kini sibuk dengan promosi bergerak Enchanter di seluruh negara dan perlu melunaskan penggambaran yang ada serta menghadiri majlis EH! Anggun yang menyenaraikan namanya sebagai 20 yang anggun sebelum bercuti ke UK.
“Saya akan pulang ke tanah air Januari depan dan memulakan rutin kerja seperti biasa. Saya juga perlu lebih fokus kerana pengajian saya di Kolej Inti cuma tinggal setahun lagi. Biarpun ada karier, saya tetap mahu menamatkan pengajian dalam bidang komunikasi massa dengan cemerlang.
“Selepas menggenggam diploma, saya akan tumpukan perhatian memantapkan kerjaya sebagai pelakon dan dalam masa sama mengintai peluang menyambung pengajian di peringkat ijazah pula. Kalau boleh saya mahu cari pengalaman baru dengan belajar di luar negara, mungkin di UK atau Belanda,” katanya penuh perasaan.
No comments:
Post a Comment