Pelawak dan pelakon Harith Iskander mengakui bakal menimang anak lelaki memandangkan isterinya Jezamine Lim sedang hamil 6 bulan.
Bagaimanapun, Harith yang sudah mempunyai beberapa senarai nama anak masih belum membuat pemilihan nama yang sesuai sehingga anaknya lahir pada Mac 2012.
“Kadangkala saya akan mengubah sesuatu perkara itu mengikut keadaan. Jadi sebab itu saya tidak mahu lagi menetapkan nama anak saya walaupun sudah mempunyai beberapa nama dalam senarai,” katanya kepada mStar Online.
Seperti pasangan lain, Harith juga sudah membuat persediaan untuk bergelar bapa dan sentiasa menjaga isteri tersayang dengan baik.
“Setiap tiga hingga empat minggu, saya akan membawa isteri membuat pemeriksaan kandungannya dan kami sudah mula membeli barangan bayi sedikit demi sedikit.
“Saya juga sentiasa menjaga isteri sewaktu dia alahan teruk semasa tiga bulan kehamilannya tetapi sekarang dia sudah tidak alahan lagi,” ujarnya tentang isteri yang sedang menyambung pengajian ijazah doktor falsafah atau PhD di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Pasangan ini diijabkabulkan pada Julai 2010.
Dalam pada itu, Harith turut memaklumkan tentang Restoran Samsaraa di Sri Hartamas miliknya dan isteri yang telah ditutup dan dijual pada empat bulan lalu.
“Kini saya sudah tidak melakukan apa-apa perniagaan dan menumpukan kepada projek filem kedua yang akan diarahkan oleh saya selepas filem Hanya Kawan.
“Selain itu, saya juga akan terlibat dalam pementasan teater Muzikal Cuci 3 dan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal 2,” ujarnya lagi.
Harith juga akan menjayakan acara stand up comedy terbesar di Asia yang dinamakan 'Kings & Queen of Comedy Asia 2' di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 dan 19 November ini.
No comments:
Post a Comment