BIARLAH kalau ada yang mahu katakan bahawa dia mengecap kesenangan kerana beralaskan tuah hidup sebagai anak seorang jutawan.
Biarlah kalau itu yang mahu terus dikait dan diperkatakan tentang dirinya. Cakap-cakap itu tidak sedikitpun meninggalkan kesan terhadap dirinya.
Hakikatnya, hanya Shazrina Azman sahaja yang tahu siapa wanita di sebalik nama komersial dirinya, Mizz Nina.
Mengenali wanita ini, dia tidak pernah suka mengambil peduli apa yang orang mahu katakan pada dirinya.
Baginya, terserah. Apa yang perlu cuma sasarkan pandangan mata ke hadapan dan terus menongkah arus sebagai anak seni.
Sebagai orang seni, si cantik ini tentu sekali tak terlepas dari umpatan orang.
Mungkin iri hati sudah menguasai diri, lantas mulut-mulut itu menyebarkan cerita tidak enak membabitkan anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim ini.
“Oh dia anak Tan Sri, jadi tak mustahillah apa yang dia buat semuanya mudah.”
Banyak kata-kata begitu dilemparkan kepadanya. Walhal, apa yang dikecapi selama ini adalah hasil usaha dan keringatnya sendiri.
Sudahlah begitu, dia dituduh bersikap diva pula gara-gara status dan latar belakang yang dipunyainya. Bersalahkah Nina?
Ketika pertanyaan diaju, Nina perlahan membuka kata agar sebarang kenyataannya tidak disalah erti.
Kata Nina, tidak pernah terlintas di hatinya untuk bersikap berlagak apatah lagi merasakan dirinya seperti seorang diva. Diva yang harus diagung-agungkan, diva yang harus diangkat tinggi.
Namun dia tidak menolak, segala apa yang dikecapinya selama ini adalah kerana tuah.
“Memang orang nampak saya ni mudah memperolehi apa yang saya mahukan. Tapi apa yang orang nampak tak sama dengan apa yang saya rasa.
“Saya orang yang suka berdikari. Apa pun yang saya buat saya lakukannya sendiri. Tak perlu menggunakan pengaruh latar belakang keluarga.
“Dan itu tidak bermakna saya ni diva. Saya langsung tak rasa diri saya ni begitu? Lagipun untuk rasanya tak ada manfaat yang saya dapat kalau bersikap diva sebab akhirnya nanti akan dibenci. Betul tak?
“Saya terkenal sekarang bukan atas tiket sebagai anak ‘somebody’. Tetapi sebagai Mizz Nina yang berusaha mengorak langkah seni dan membawa nama Malaysia setaraf artis antarabangsa,” katanya.
Masih positif meski sedar ada yang tidak suka pada dirinya, terang Nina, dia yakin selagi diri diterima peminat, tiada apa yang mampu merubah dirinya untuk menjadi diri orang lain.
“Saya masih Nina yang dulu, seorang yang rendah diri dan tak kisah apa orang lain hendak kata,” ujar wanita ini lagi.
Duet Sheila Majid
Menerima banyak pujian daripada peminat kerana berjaya meletakkan diri setaraf artis luar, menjadikan diri Nina begitu eksklusif.
Mungkin dirinya belum mampu untuk menyaingi Charice, artis Asia pertama yang mampu berada di dalam carta 10 lagu popular di Amerika.
Namun, Mizz Nina sudah ada pengikutnya sendiri.
Bermula dengan lagu What You Waiting For, gandingannya dengan penyanyi Colby O Donnis, kini Nina muncul popular menerusi lagu Take Over.
Bersama penyanyi rap terkenal Amerika, Flo Rida, Nina menghangatkan atmosfera muzik tanah air.
Mencanak-canak namanya naik dan meniti di bibir peminat yang kagum dengan kebolehannya mengekalkan populariti tentu sahaja bukan di Malaysia, tetapi ke seluruh dunia.
Mengaku masih belum puas, Nina merancang pula untuk menghasilkan album baru yang turut akan menampilkan artis antarabangsa sebagai gandingannya.
Nama Justin Timberlake ketika ini sedang berlegar-legar dalam minda sebagai antara penyanyi yang akan berkolaborasi dengannya, cadang Nina.
“Tetapi masih terlalu awal untuk bercakap hal ini sebab belum ada kepastian.
“Tak semestinya Nina akan bergandingan dengan artis Amerika sahaja. Nina juga sedang merancang untuk melebarkan sayap bergandingan dengan artis Taiwan atau Korea,” katanya.
Bagaimanapun kata Nina, album akan datangnya itu kelak turut akan memuatkan sebuah lagu yang akan menyaksikannya bergandingan dengan artis tempatan.
“Nina suka bereksperimen. Kalau boleh Nina nak bergandingan dengan Sheila Majid untuk sebuah lagu.
“Nina meminati Sheila bukan sahaja dia adalah ikon Jazz negara, tetapi kerana karakter Sheila yang bersahaja sebagai seorang penghibur,” katanya memasang harapan.
Nina sebagai isteri
Hampir empat bulan mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh, akui Nina, dia sejujurnya sangat bahagia dengan gelaran isteri yang disandangnya kini.
Masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan baru yang ditempuh itu, kata Nina, sama ada dia mahupun Noh, kedua-kedua mereka sebenarnya sedang cuba mengenali diri masing-masing.
“Nak tau tak, kadang-kadang Nina rasa macam tak percaya sudah jadi isteri orang. Rasa masa tu sekejap sangat.
“Banyak perbezaan. Dulu Nina uruskan diri sendiri, tapi bila dah berdua ni kenalah uruskan suami juga. Tapi untungnya Noh tak cerewet sangat, dia cukup ringkas.
“Kami sedang belajar apa yang disukai dan apa yang tak disukai, perangai, benda-benda macam tulah,” katanya.
Ditanya sama ada setelah bergelar isteri, dia merasakan dirinya terbatas daripada melakukan perkara yang diingininya seperti zaman solo, Nina lantas melemparkan senyuman.
“Tak adalah!” kata ceria.
Menyambung cerita, jelas Nina, perkahwinan tidak pernah dijadikan sebagai batasan untuk meneruskan hidup sebagai dirinya sendiri.
“Memang saya sudah jadi isteri, tapi Noh tak pernah halang saya buat perkara yang saya suka.
“Saya masih boleh keluar dengan kawan-kawan dan hasilkan muzik yang baik, sebagai contoh. Tapi tentulah batasan sebagai isteri saya ambil kira.
“Tentu sekali saya sedang cuba melakukan yang terbaik. Bagi saya, hubungan sebagai suami isteri perlu disertakan dengan toleransi dan hormat-menghormati. Dua perkara ini paling utama,” ujarnya.
Teroka dunia fesyen
Beralih kepada topik fesyen, mata Nina galak bersinar. Amboi..berminat betul dia.
Sungguh tak dinafikan Nina pandai dalam bab berfesyen. Cita rasanya juga, boleh tahan hebat.
Bagaikan polis fesyen, tak pernah sekali rasanya mata ini melihat Nina songsang dalam imej yang menjelikkan. Ternyata, dia menjaga kelasnya sendiri sebagai Mizz Nina yang satu.
Bercerita lanjut, kata Nina, minatnya dalam dunia fesyen sudah lama tersemat dalam jiwanya selain muzik.
Maka, itu menjawab kepada pendedahannya mengenai jenama Mizz De Meanor, cabang baru buatnya dalam bidang perniagaan beraliran fesyen.
Baru sahaja dilancarkan awal Oktober lalu, kata Nina matlamatnya cuma satu, mahu berkongsi apa yang diminati bersama peminat dan pengguna.
“Tak pernah timbul niat untuk bersaing dengan mana-mana pereka yang sedia ada. Nina cuma mahu berkongsi apa yang Nina suka pakai bersama peminat.
“Lagipun dah lama terfikir untuk menghasilkan pakaian dengan jenama sendiri. Nina cuma hasilkan idea rekaan sahaja sebab tak pandai melukis .
“Jadi Nina minta tolong beberapa orang teman yang pandai dalam bidang rekaan untuk realisasikan hasrat ini.
“Buat sementara waktu ini, Nina jual secara kecil-kecilan, tak ada butik pun. Cuma menumpang pada kedai-kedai kawan dan melalui atas talian,” katanya.
Menurutnya, jenama pakaiannya kini sudah pun dipasarkan di beberapa lokasi termasuk di Pusat Membeli-Belah Sunway Pyramid dan Amcorp Mall, Petaling Jaya. Rangkaian pakaian yang bersesuaian untuk lelaki dan wanita yang berimej Funky dan moden ini termasuk kemeja-T, jaket, seluar jean, beg dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment