14 November 2011

Berbulan madu selepas lima tahun


SEJAK mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 lalu, baru kini penyanyi asal Benut, Rohaizah Nordin atau dikenali Haiza dan suami, Norhanapfe Omar dapat meluangkan masa berbulan madu.

Bayangkan mereka mengambil masa lima tahun untuk berbulan madu, dan akhirnya mereka telah memilih Bali sebagai lokasi bulan madu.

Mereka yang baru sahaja pulang dari Bali pada 11 November 2011 nampak lebih yakin dengan senyuman yang sentiasa terukir. Ia amat berbeza dengan hari-hari sebelumnya, dan pasti bulan madu yang diluangkan di Bali dinikmati sepenuhnya.

Pasangan yang masih mengharapkan cahaya mata ini berharap percutian bulan madu pertama kali ini dapat membuahkan hasil. Haiza mengharapkan mereka dapat manfaat bulan madu ini tanpa memikirkan sebarang pekerjaan masing-masing.

Penantian hampir lima tahun lebih benar-benar menguji keimanan dan kesabaran pasangan ini. Bagi mereka semua itu adalah ketentuan Allah dan apa yang diharapkan adalah usaha.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha. Saya tahu ini bukan bulan madu pasangan orang yang baru berumah tangga. Kiranya saya ini dah jadi pengantin basi, tapi tidak mengapa, apa yang penting dapat bulan madu. Bulan madu biarpun dekat atau jauh, ia sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi dan seribu ketenangan kepada saya.

“Saya dapat melupakan sejenak hal kerja, show dan masalah lain, begitu juga dengan suami saya. Biarpun tidak lama di Bali, saya harap apa yang diusahakan itu dapat membuahkan hasil.

“Kalau nak diikutkan kami dah menikah lama, tapi baru sekarang kesempatan yang ada untuk dilaungkan bersama. Biasanya saya ada juga ke luar negara, ada yang tanpa suami dan ada dalam satu rombongan. Lainkan, suasana dan persekitarannya itu. Bulan madu kan lebih asyik, lebih-lebih lagi di pulau yang romantik seperti Bali ini,” jelas Haiza.

Percutian selama empat hari itu dihabiskan bersama suami sambil melihat Bali yang pertama kali dikunjunginya. Sebelum ini Haiza pernah melancong ke Paris, London, China, Bandung, tetapi ia tetap tidak sama dibandingkan bercuti di Bali bersama Norhanapfe.

Sebelum ini suaminya sibuk dengan perlawanan dan latihan hoki dan Haiza pula sibuk dengan kerjanya sebagai penyanyi. Masing-masing tidak mempunyai masa yang cocok untuk bercuti bersama.

“Tengah saya ada waktu cuti yang panjang, dia pula sibuk dengan latihan dan begitulah sebaliknya. Sebelum ini ada jugalah kami bercuti bersama, bukan bulan madu, tapi ikut rombongan cik kiah yang ramai-ramai tu.

“Eee…mana sesuai nak berbulan madu. Kena pula pergi dengan peminat, jadi saya kenalah layan peminat. Suami tu kiranya kurang terlayan, tapi di Bali ini hanya kami berdua, dan berdua lebih baik…,” katanya.

Di sana, mereka sempat melawat Uluwatu, tasik Bedugul, Tanah Lot, Sange, Ubud, dan berjalan sekitar Denpasar dan Kuta. Pasangan yang menginap di hotel Best Western Resort, Kuta juga tidak lepas membeli-belah.

“Kita tak pernah sampai sini, jadi tak tahu tentang apa yang boleh dibeli. Bawa duit pun taklah banyak sangat, kononnya nak bulan madu saja. Semua itu di luar jangkaan, malah duit yang dibawa tidak mencukupi.

“Terpaksa tukar duit lagi di Bali. Memang menarik membeli-belah di sini. Bawa RM5,000 pun belum tentu kita puas membeli-belah. Tapi saya tidaklah belanja sebanyak itu!” terang Haiza lagi.

Bercerita tentang album barunya, menurut Haiza album single itu masih dijual dan setakat ini sambutannya boleh tahan. Tahun 2012 juga merupakan tahun yang agak sibuk baginya. Tahun depan genaplah 17 tahun Haiza menjadi artis dan dia bercadang untuk mengadakan mini konsertnya di tiga buah bandar.

“Saya akan buat mini konsert yang berskala kecil saja, iaitu di hotel dan juga akan melibatkan beberapa teman artis rapat dalam persembahan itu nanti. Sekarang saya sibuk mencari penaja untuk tujuan tersebut, dan kalau ada yang sudi bolehlah hubungi saya ataupun ejen acara saya di talian 012-2578884.

“Maklum sajalah, nak buat majlis yang sedemikian pun memerlukan modal yang besar juga,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug ini. - Noor Joha Ahmad

No comments:

Post a Comment