Perjalanan seni mantan naib juara program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Mohd Aizam Mat Saman atau lebih dikenali sebagai Adam AF2 ini boleh dilihat agak berliku. Daripada bergerak sebagai penyanyi solo seterusnya menubuhkan sebuah kumpulan, VIP, kehadirannya tetap dilihat kurang menyinar seperti beberapa artis realiti yang semakin gah mencipta nama, pendek kata masih di takuk sama walhal sudah hampir tujuh tahun dia bergelar anak seni.
Ia diakui sendiri oleh Adam. Namun dia merasakan pencapaian sederhana sepanjang tempoh pembabitannya dalam bidang seni itu dirasakan memadai kerana percaya bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang artis terus bertahan lama apatah lagi dalam tempoh tersebut.
Ditanya sama ada dia berkecil hati dan merasa seperti dianak tirikan oleh industri lantaran kariernya seakan tidak seimpresif artis baru lain sedangkan dia terlebih dahulu mencipta nama. Adam punya jawapannya.
“Saya mengakui sedikit kecewa dengan industri kerana ada segelintir pihak yang gemar ‘pilih bulu’, kurang memainkan lagu mahupun klip video dan ada juga yang hanya tahu mengkritik tapi tidak pula membantu,” ujarnya ketika ditemui sewakti sidang media BN Youth Music 2011 di sini Selasa lalu.
Namun begitu Adam tidak mahu terus menyalahkan mana-mana pihak kerana dia sedar akan senario di mana dia perlu beralah memberi laluan kepada artis-artis baru.
Malah dia turut sedar bahawa sebagai seorang artis, perlu juga bergantung pada usaha dan keupayaan sendiri untuk berjaya. Dan ia menjadi peniup semangatnya terus berjuang dalam bidang yang dicintainya selain sokongan padu peminat setianya.
Menyentuh tentang kelibatnya yang agak kurang menghiasi dada akhbar, majalah hiburan mahupun laman hiburan (online) sehingga kewujudannya semakin dilupai. Adam merasakan dia perlu membuat keputusan bijak agar dia tidak dicop artis gilakan publisiti murahan.
“Memang ramai yang meminta saya membuat sesi photo shoot tapi saya tolak dengan cara baik. Zaman muka saya saban hari menghiasi dada akhbar dan majalah dengan gosip-gosip hangat sudah berlalu. Kalau boleh biarlah saya muncul kerana ada produk baru, itu baru berkualiti.
Selain bakal melancarkan semula album barunya, ‘ADAM 4′ yang memuatkan himpunan lagu-lagu ciptaannya sambil menanti filem lakonannya, ‘Apokalips’ arahan Mamat Khalid ditayangkan, Adam dijangka akan mengadakan showcase solo eksklusif buat para peminatnya di Actor Studio, Lot 10 pada 31 Disember ini.
No comments:
Post a Comment