|
KETAWA dan ramahnya masih sama. Hadir ke studio dalam persalinan kasual yang cukup ringkas dan bergaya dengan kasut ala penari balet. Cuma yang membezakan, Akma, 26, kini sudah bertudung litup.
Jika dia tidak menanggalkan cermin mata hitamnya itu pasti orang sekeliling akan tertanya-tanya, siapakah gadis tinggi lampai yang anggun dalam lilitan tudung persis Hana Tajima iaitu pereka dan ikon fesyen dari United Kingdom.
Akma atau nama asalnya Asiahtunakma Abdullah, merupakan penyanyi tempatan kelahiran program realiti Akademi Fantasia, musim ketiga (AF3).
Kemunculan Akma yang bertudung bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan sejak kebelakangan ini satu-persatu selebriti yang sedang mencipta nama di persada seni tanah air tampil dengan imej yang sama.
Persoalannya, adakah bertudung sudah dikategori sebagai salah satu trend fesyen atau dari sudut positif ia merupakan penghijrahan dan pengorbanan ikhlas seseorang itu untuk berubah?
"Tidak dinafikan, sesetengah individu memandang serong kepada kelompok selebriti yang mengambil keputusan untuk bertudung. Lebih menyedihkan mereka sanggup bertaruh untuk melihat pendirian seseorang artis itu bertudung.
"Bukankah lebih baik sekiranya masyarakat sekeliling berdoa dan terus memberi sokongan supaya kami mengekalkan imej sopan dan muslimah ini," jelas Akma ketika menggayakan jubah nuansa biru lembut koleksi Hurul Ain.
Pasang niat
Bicara wanita yang dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu, sejak tahun lalu dia sudah memasang niat untuk bertudung, namun hasrat murni berkenaan tercapai jua pada 13 Syawal lalu.
Tambah anak keempat daripada enam adik-beradik itu, pada mulanya dia gusar sekiranya undangan nyanyian berkurangan gara-gara keputusannya memakai tudung. Tetapi, semakin dia mendekatkan diri kepada Tuhan semakin melimpah ruah rezekinya.
Acap kali menyentuh mengenai imej terbaharunya itu, Akma yang popular menerusi lagu Percaya Pada Cinta, sentiasa tersenyum. Bicara peminat sepatu itu lagi, paling mengujakan pantang mempunyai masa terluang dia tidak melepaskan pe luang mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur untuk membeli-belah tudung dan selendang.
"Saya tak cerewet dalam aspek jenama mahupun harga. Biasanya saya suka membeli selendang jenis likra atau satin kerana ia mudah dibentuk. Dari segi warna pula saya gemarkan warna-warna terang dan ceria kerana ia sesuai dengan usia remaja," jelas Akma yang suka mencuba pelbagai teknik lilitan tudung untuk disesuaikan dengan lokasi dan acara yang dihadiri.
Sementara itu, pembaca berita TV9, Norazura Abu Samah, 28, atau lebih mesra disapa Zura menyifatkan dia mengambil keputusan untuk memakai tudung selepas berhadapan dengan dua kejadian yang menakutkan.
Biarpun menyedari perubahan imejnya itu boleh menyebabkan dia kehilangan kerja tetapi wanita bersuara serak-serak basah itu reda dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
"Saya akui majikan sebelum ini kurang selesa jika staf memakai pakaian yang bertudung litup. Pada masa tersebut sukar untuk mencari kerja baharu tetapi saya nekad memakai tudung dan sanggup berhenti kerja.
"Bersyukur, selepas berhijab saya diberi peluang menyertai Pesona Nona kendalian TV3 iaitu sebuah program yang mencari bakat-bakat baharu dalam dunia pengacaraan," kata Zura yang murah dengan senyuman.
Detik menginsafkan
Bertitik tolak daripada episod itu dia semakin yakin bertudung kerana menyifatkan sehelai selendang yang menutup kepalanya itu bukan penghalang untuk dia mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Bercerita tentang detik yang menginsafkan sehingga mendorongnya memakai tudung, Zura yang masih bujang menyatakan dia pernah berhadapan dengan dua kejadian yang mencemaskan.
Empat tahun lalu, sewaktu menghadiri majlis kenduri-kendara di kampung halamannya di Pontian, Johor Bahru, Johor dia jatuh pengsan.
"Bayangkan, saya tiba-tiba rebah dan badan menggigil. Anak mata pula naik ke atas. Saudara-mara mula resah dan berusaha memulihkan saya dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran.
"Selang beberapa bulan ketika sibuk dengan aktiviti merewang untuk sebuah majlis perkahwinan sepupu di Kuala Lumpur, beberapa buah khemah dan pelamin roboh serta musnah akibat ribut. Ibu saya juga terjatuh dan kami hampir dipanah kilat," luah Zura yang menyifatkan sekiranya maut menjemputnya akibat terkena panahan petir itu, apakah amalan dan persediaan diri yang dibawa.
Rentetan dua insiden berkenaan membuka seribu hikmah buat graduan Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), itu.
Tambah pencinta aksesori ini; "Usah teragak-agak untuk melakukan pengorbanan buat diri sendiri dan agama. Lagipun bertudung sememangnya dituntut agama.
"Siapa kata dengan bertudung kita tak boleh bergaya, padahal trend fesyen tudung terkini semakin banyak dan mengikut peredaran zaman.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment