10 November 2011

Hikmah pengorbanan



  • Foto
  • Foto
Irma Hasmie, Siri Nordiana kini akui lebih tenang jalani kehidupan sebagai artis dengan berimej baru

ALUR hidup mereka jauh berbeza, namun status selebriti tidak membebaskan dua personaliti yang kini membawa imej muslimah ini daripada belenggu palitan kontroversi yang pernah menimbulkan polemik sedikit masa lalu. Edaran masa seperti enggan meluputkan minda segelintir manusia daripada terus mengingati khilaf silam mereka, lantas memerangkap dua nama ini dalam persoalan yang berlarutan.

Biarpun kini Irma Hasmie dan Siti Nordiana sudah meninggalkan imej gelap masa silam, bayangan lakaran lalu yang masih mengekori membuatkan segelintir masyarakat skeptikal dengan penghijrahan mereka. Pengorbanan mereka bukan mudah untuk taqmpil imej baru sesuai dengan kehendak dan suruhan agama, namun itulah hikmah yang mereka peroleh kini.

Enggan pertikaian sebilangan kecil masyarakat merosakkan kesucian niat mereka, Irma dan Siti Nordiana atau Nana berharap pengorbanan besar memberikan imej baru kepada industri hiburan tidak menjauhi mereka daripada rahmat Allah. Dengan imej bertudung litup dan lebih mementingkan adab dalam pergaulan seperti dituntut Islam, mereka tetap akur meneruskan perjuangan seni dengan landasan yang benar. 

Akui Irma, hasutan syaitan serta persekitaran ada kala menguji kekuatan iman namun dia nekad mempertahankan pendirian kerana perubahan itu adalah untuk mencari keredaan Allah. Bermula daripada niat ikhlas, seterusnya memancarkan kejujuran dalam diri dan dari situ, kata Irma akan terbit kesungguhan untuk terus mempertahankan pegangan diri.

"Setiap kali bangun, saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya tidak jatuh dan berpatah balik ke laluan yang pernah saya lalui dulu.

Alhamdulillah, pandangan skeptikal dan sini manusia tidak sesekali membuat saya lemah dan tewas. Saya tolak ke tepi semua itu dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. 
Foto
"Dia yang memberikan rezeki, malah mentadbir alam semesta jadi saya tidak perlu bimbang kerana semua yang berlaku mempunyai alasan dan hikmahnya. Allah sayangkan hamba-Nya yang mahu berubah ke arah kebaikan, jadi tidak mungkin Dia menutup pintu rezeki-Nya," kata Irma mengenai penghijrahan yang berlaku selepas pulang dari mengerjakan umrah di Makkah, Mac lalu.

Penghijrahan itu akui Irma, menuntut kekuatan luar biasa bahkan mendesaknya melakukan pengorbanan yang cukup menguji.

Tanpa paksaan sesiapa, Irma melupakan keseronokan kosong yang membentangkan kebahagiaan sementara, sebaliknya beralih mencari kegembiraan hakiki.

"Dulu hidup saya tiada fokus, malah terlalu lalai dengan keseronokan dunia. Bukan saya tiada cita-cita, tetapi ia lebih terarah kepada pencapaian duniawi. Saya korbankan semua keseronokan itu kerana mahu berjaya di dunia dan akhirat. Saya berkorban untuk sebuah kehidupan yang lebih baik dan berbeza daripada apa yang dilalui dulu.

"Dulu saya tercari-cari arah hidup tetapi hari ini, saya lebih yakin dan berasa selamat kerana dekat dengan Allah. Apa sangat pengorbanan ini berbanding orang lain yang jauh lebih hebat diuji," bahas Irma, bertepatan dengan kedatangan Hari Raya Korban yang disambut umat Islam hari ini.

Enggan segala luahannya disalah tafsir sebagai membangga diri, Irma bersyukur kerana hidupnya hari ini dikelilingi mereka yang sentiasa memberi dorongan untuk kebaikan. Disebabkan itu, perantara program Assalamualaikum dan Solehah siaran TV AlHijrah ini masih setia mengabdikan dirinya kepada dunia hiburan kerana medium itu boleh mendorong peminat ke jalan lurus dan diredhai Allah.

Baginya, tiada alasan untuk berundur diri jika bidang ini masih memberinya ruang untuk beramal dan berbakti bukan saja sesama manusia tetapi juga kepada Allah. Ralit mendengar hujah Irma membuatkan Nana memperoleh semangat baru apatah lagi, sebelum penghijrahannya dia diuji dengan pelbagai dugaan yang mencabar iman.

Berkali Nana menegaskan, perubahan dalam dirinya dilakukan bukan kerana mahu menarik perhatian ramai. Penyanyi kelahiran Sendayan, Negeri Sembilan itu juga tidak berniat mengalih ingatan peminat selepas berdepan kritikan pedih gara-gara pernah muncul dengan imej seksi.

"Saya tidak pernah mencanang kepada sesiapa untuk berubah. Saya hanya berterus terang mengenai imej baru apabila diundang menjayakan sesi fotografi menjelang Syawal lalu. Ketika itu saya sudah bersedia diterjah pelbagai pertanyaan. Usah memandang serong kerana saya cuma memenuhi tuntutan yang diwajibkan kepada wanita Islam, bukan berbangga atau cuba menunjuk-nunjuk,” katanya.

Penyanyi Cinta Hanya Sandaran itu bersyukur, penghijrahannya itu membuatkan dia lebihl dihormati malah bebas daripada gangguan lelaki hidung belang. Membawa status ibu tunggal seorang cahaya mata, Nana tidak menafikan dulu dirinya sering menjadi mangsa usikan lelaki yang cuba memancing perhatian.

"Sejak bertudung, tiada lagi lelaki yang mendekati hanya untuk mengambil kesempatan. Perubahan ini tanpa disangka menjauhkan saya daripada pandangan serong. Bukan mudah untuk saya jalani kerana saya bergerak sendiri. Namun Allah membentangkan laluan lebih selesa hingga saya dapat merasai, pintu rahmat-Nya terbuka luas apabila memilih untuk meniti laluan diredai," jelasnya.


INFO: Irma Hasmie
Nama Penuh: Irma Hasmie Ibrahim
Tarikh Lahir: 8 Januari 1982
Asal: Kuala Lumpur
Keluarga: Sulung daripada tiga beradik
Pendidikan: Diploma Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur
Pencapaian: Gadis Jelita 2004
Iklan Komersial: Pringles, Maxis, Yamaha dan Fair & Lovely
Filem: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva & Dua Hati Satu Jiwa
Drama: Lima, Awan Dania, Bella, Rahsia Gambar, Hantu Raya, Segalanya Ku Terima & Cinta 5 Bintang.

Irma, Nana menanti cinta sejati

TIDAK seperti dulu, apabila Irma Hasmie dan Siti Nordiana begitu terbuka bercerita mengenai lelaki, namun pertemuan pada petang Rabu lalu tidak lagi diisi topik sebegitu. Mula dijamah tempias gosip mengaitkan mereka dengan lelaki tertentu, Irma dan Nana selesa menyimpan topik itu menjadi milik peribadi mereka.

Seperti diakui Irma, selagi belum ada pengesahan dia tidak akan sesekali membuka mulut bercerita mengenai soal cinta.

"Tipu jika saya tidak berusaha untuk mengenali lelaki, cuma saya tidak mahu terlalu terbuka bercerita. Saya masih sendiri tetapi pada masa sama, tidak menutup pintu hati untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup. Pengganti itu hanya akan diketahui apabila dia bergelar suami kepada saya nanti. Dulu mungkin saya suka berkepit tetapi hari ini, semua itu bukan lagi keutamaan.

"Saya mencari restu kedua-dua ibu bapa. Saya mahu perkahwinan yang diberkati, jadi restu kedua ibu bapa penting sebelum saya diserahkan kepada lelaki yang memegang amanah mereka," katanya.

Nana pula yang pernah kecundang selepas tiga tahun bergelar isteri tidak menafikan, dia kini rapat dengan seseorang namun perkahwinan bukan lagi menjadi agenda penting dalam hidupnya. Bukan serik, cuma Nana mahu lebih berhati-hati kerana berharap perkahwinan kedua akan memberinya kebahagiaan hingga akhir hayat.

Lagipun jelas Nana, tidak mudah untuk menerima lelaki yang memahami status dirinya sebagai ibu tunggal kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 4.

"Bukan cerewet, malah saya tidak meminta lebih. Memadai jika lelaki itu mampu memberi pendidikan agama kepada Nana dan Rayyan, selain penyabar. Tak mengapa jika tidak kaya kerana wang ringgit bole dicari. Nana cuma mencari lelaki yang boleh menerima anak Nana dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ayah. Itu cukup untuk memberi kebahagiaan kepada Nana kerana Rayyan ialah segala-galanya dalam hidup Nana," katanya.

INFO: Siti Nordiana
Nama Penuh: Siti Nordiana Alias
Tarikh Lahir: 22 November 1984
Tempat Lahir: Hospital Besar Seremban, Negeri Sembilan
Karier: Penyanyi, pelakon
Status: Ibu tunggal
Anak: Mohd Rayyan Nakhaie 
Album: Gurindam Rindu Berkasih (1999), Luahan Hati Kekasih (2000), Firus - duet bersama Syura (2001), Bingkisan Kasih (2001), The Best Of siti Nordiana (2000) Istimewa Untukmu - duet bersama Achik (2003), Pelangi (2004), Benang Emas - duet bersama Achik (2005), Cahaya Kekasih (2007)

No comments:

Post a Comment