NATASHA LIANA HUDSON gemar melakar kata. Segala luahan hatinya disimpan kemas dan cantik dalam laman blog yang sentiasa dikemaskini. Selain berkarya dengan jiwa dan figuranya yang dilintaskan di mata khalayak melalui bakat lakonan, wanita berusia 29 tahun ini juga mahu mengukir seni dengan kata-katanya atau lebih tepat lagi, luahannya.
Sepertinya sebuah penulisan itu mampu memberi Natasha sebuah kebebasan. Dia bebas berekspresi dan melemparkan pendapat di samping melakar pengalaman berdasarkan pengamatan. Dia merasakan dirinya seorang yang sentiasa inginkan setiap inci ruang hidupnya terbias hasil seni.
Sibuk dengan penggambaran filem, Natasha yang mesra disapa Tasha terlibat dengan dua buah filem iaitu Langgar dan Lemak Kampung Santan.
Berbeza karakter dan warna dalam pembawaan, buat Natasha, watak Amanda yang dibawakan dalam filem Langgar memberikan dirinya perbezaan.
Buat pertama kalinya juga, Natasha membawakan watak yang begitu berbeza dalam lakonannya sebelum ini.
“Watak saya berbeza dalam filem arahan Sein ini. Saya jadi penagih dadah, perokok dan juga bercampur dengan gengster. Malah latar belakang saya dalam filem ini juga hitam. Langgar berkisar tentang gengster dan saya terlibat dengan babak cinta bersama Namron dan Adi Putra,” ujar Tasha yang merelakan dirinya dipukul, disepak didera oleh Radzi (Namron) yang memegang watak ketua gengster dan kekasih Amanda.
“Saya minta Namron buat betul-betul agar nampak keberkesanannya. Memang banyak adegan dera,” ujar Natasha yang memberi visual seorang penagih dadah melalui tabiat merokok dalam filem ini.
Ibu kepada seorang anak perempuan Nessa Helena yang berusia 3 tahun itu akan muncul melalui telefilem yang bertajuk Si Tudung Tweet terbitan Mermaid Studios.
Bakal ditayangkan pada 16 November ini pada pukul 8.30 malam di saluran TV9, Si Tudung Tweet arahan Ghaz Abu Bakar turut menampilkan Liyana Jasmay, Izzue Islam, Juliana Evans dan Afiq Muiz.
Telefilem ini mengisahkan tentang kehidupan pelajar di kolej yang inginkan perhatian. Zubaidah (Liyana Jasmay) merupakan seorang pelajar kolej yang sanggup membuat apa sahaja supaya mendapat perhatian ramai. Tasha membawakan watak seorang pengetua sekolah fesyen yang tegas.
No comments:
Post a Comment