KETIKA ini si tinggi lampai bernama Miera Liyana sedang larut dalam kebahagiaan ciptaan sendiri bersama kekasih hatinya yang juga pelakon, Shahz Jaszle. Hikayat cinta mereka yang tiba-tiba dipersembahkan di depan rakan media pada saat masing-masing melunaskan baki penggambaran filem Rentaz arahan Mamat Khalid di Pulau Pinang tempoh hari cukup mengejutkan.
Di sebalik bertebaran kisah kononnya pengakuan cinta itu bersifat gimik apatah lagi dengan sisi si arjuna pilihannya yang cukup terkenal dengan rekod peribadi untuk jatuh cinta di lokasi penggambaran, antaranya sebelum ini dengan Maria Farida dan Neelofa, terbit pula kesungguhan Shahz dan Miera untuk merencana masa depan.
Masing-masing terutamanya di pihak Shahz sendiri begitu beriya-iya untuk memperisterikan Miera. Tambahan pula restu dan kepercayaan keluarga mereka sudah diraih. Shahz sendiri juga seboleh-bolehnya tidak mahu melengahkan hasrat murni itu kerana ibu bapanya semakin meningkat usia.
Bertemu Miera dalam pertemuan bersama B*POP pada hujung bulan lalu di Balai Berita, anak VIP yang merendah diri dan ‘gila-gila’ ini tidak menafikan memang dia dah Shahz ada merancang menamatkan zaman bujang sekitar tahun depan. Pasangan ini turut dikatakan bercadang untuk bertunang terlebih dulu hujung tahun ini.
“Bab nak bertunang, kenalah tanya dia (Shahz). Manalah saya tahu,” usiknya membuka bicara.
Bagaimanapun, pelakon yang baru empat tahun bergelumang dalam dunia seni ini berasakan perancangan itu terlalu awal dan pada masa yang sama kedua-duanya turut terikat dengan komitmen seni. Katanya, jika tak pun mungkin sekitar tahun depan mereka bakal mendirikan masjid.
Difahamkan pihak Shahz sedang merancang untuk menghantar rombongan meminang Miera. Menurut Miera, benda yang elok tak salah diteruskan sekali gus dapat mengelak maksiat. Cuma, bagi Miera dia juga mahu mengukuhkan nama sebagai anak seni. Kerjayanya itu tetap difikirkan.
“Siapa yang tak nak kahwin dan memiliki keluarga sendiri. Tapi untuk berkahwin itu bukan perkara mainan. Saya tak nak kahwin empat lima bulan selepas itu bercerai. Setakat ini, saya sebenarnya berbelah bagi juga dengan usia yang terlalu muda. Ada juga yang melihat hasrat saya nak kahwin ini masih terlalu awal.
“Saya pun banyak benda yang nak diperbetulkan. Sebagai manusia biasa, kita tak pernah rasa sempurna. Miera tak mahu bercinta sekerat jalan. Perjalanan seni Miera pun masih hijau. Namun, andai sudah tertulis jodoh kami kuat dan perkahwinan ini bakal terjadi, biarlah yang sekali dan selama-lamanya untuk kami.
“Pada satu detik dan tahap, saya sebenarnya sudah letih untuk bercinta dan berakhir dengan kekecewaan. Takkan nak bercinta monyet saja. Shahz juga sudah beberapa kali putus cinta seperti saya. Tapi kehadiran Shahz yang bersungguh-sungguh menyayangi saya, kenapa tidak saya mempertimbangkan untuk serius ke fasa seterusnya,” katanya saat ralit disolek jurusolek terkenal, Epie Temerloh.
Seperti diketahui, Miera dan Shahz menuntut sama-sama di Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Shahz senior kepadanya. Masing-masing ketika itu sebenarnya sudah lama memendam rasa cuma segan untuk diluahkan.
Lucunya, Miera pernah melalui fasa cinta monyet dengan kawan baik Shahz sendiri. Ikutkan mereka sebenarnya selalu bertembung sebelum ini kerana kelompok kawan mereka sama. Menerusi drama on-line, Luna Fantasiku menjadi produk seni pertama menemukan mereka sebagai pelakon, diikuti filem Rentaz dan telefilem berjudul Teguh.
“Saya kenal Shahz dan dia memang suka berkawan. Hubungan kami jadi serius masa penggambaran Rentaz dan semakin rapat selepas itu. Melihat kepada sejarah kisahnya sebelum ini, saya sendiri pernah bertanya kepadanya apakah hubungan kita turut berpaksikan cinta lokasi.
“Tapi saya nampak keikhlasan dia dalam berkawan. Sebelum ini saya hairan juga dia boleh bercinta dengan wanita yang lebih berusia. Daripada itu, saya nampak dia cukup matang untuk berdepan dengan apa yang kami lalui kini. Dia juga jenis lelaki apabila ada seseorang disayangi, dia akan jaga betul-betul.
“Percintaan kami terjalin dengan sendirinya tiada tarikh tertentu bila kami bercinta. Masa di lokasi Rentaz, kami banyak berkongsi hal kerja dan kehidupan. Ibu bapa saya pun sukakannya. Harapan saya semoga apa dirancang akan berjalan lancar dan dipermudahkan,” katanya yang mula berlakon menerusi drama Luna Fantasiku arahan Aziz M Osman.
Akui kontroversi naikkan nama
MENELUSURI sisi kerjaya seni Miera Liyana juga antara bakat baru yang tak pernah sepi dengan kisah kontroversi. Miera pernah mengejutkan industri hiburan tempatan dan dikecam hebat apabila tampil keterlaluan dengan gaun sendat yang hampir mendedahkan payudara miliknya pada satu majlis awal tahun ini.
Kemudian timbul pula khabar kononnya dia dikatakan mabuk di premis hiburan. Ia disusuli episod cintanya dengan Shahz dan seterusnya membuka cerita sebaliknya yang bertebaran mengatakan dia mempermainkan cinta pelakon, Lash Mokhtar selepas bersama Shahz.
Hingga saat ini, kanvas seninya lebih banyak dilitupi kisah sensasi. Sebaliknya bakat diperdagangkan sejak berada di Tingkatan Tiga hingga kini masih belum boleh dibanggakan sekalipun dia sering menjadi pilihan ramai pengarah untuk medium TV dan layar perak.
“Saya tak menonjol kerana pada masa sama, saya juga seorang pelajar. Mungkin juga bukan rezeki dan masa saya lagi untuk menyinar. Tapi kalau ada yang melihat saya naik kerana kontroversi, itu hak masing-masing. Saya sendiri tidak menidakkan tempias kontroversi sedikit sebanyak menaikkan nama.
“Pada akhirnya kontroversi tetap kontroversi. Baik atau buruk publisiti itu, ia tetap menjadi publisiti. Cuma saya sedar perspektif masyarakat terhadap saya akan terus terbuku. Cuma janganlah terus hakimi saya daripada apa yang saya pakai dan nilai apa yang saya boleh kongsi dengan berkarya sebagai pelakon.
“Saya tak kisah selepas ini, jika ada mengutuk dan mengkritik lakonan saya tidak bagus daripada melihat sisi peribadi saya semata-mata. Saya mahu memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap bakat yang saya ada dan boleh mempersembahkan untuk memeriahkan persada seni,” katanya yang turut membintangi filem Apokalips X dan Jangan Pandang-Pandang.
Miera sedang menanti siaran drama Cendana yang menemukannya dengan Iqram Dinzly dan Deanna Yusof, selain drama berjudul Psikik dan Teguh. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu hipokrit dalam soal bergaya. Gaya seksi antara pilihan Miera yang juga mempunyai sisi tomboy.
“Seksi itu sesuatu yang cukup subjektif dan saya juga masih muda serta selesa bergaya sebegini. Saya suka mencuba pelbagai gaya mengikut aliran semasa. Tapi bukan tujuan saya bergaya sebegini untuk meraih popular hanya bersandarkan imej seksi. Saya tahu batas saya sebagai anak yang masih mempunyai keluarga. Saya ada harga diri,” katanya yang bersikap happy go lucky dan mudah diajak berbicara.
No comments:
Post a Comment