13 November 2011

Bila masa saya rampas tunang orang? - Izreen


RASANYA macam baru semalam kita menatap cerita-cerita gosip mengenai bagaimana dia makan hati dengan pelakon drama Juvana, Johan As’ari selepas hubungan mereka dikatakan dingin.


Puncanya hanya satu. Wujudnya orang ketiga dan dia ialah, pelakon Fasha Sandha.


Namun belum pun sempat kontroversi itu padam, kini Izreen Azminda, 26, dilanda pula dengan satu lagi isu panas apabila dia dituduh merampas tunangan orang.

Amboi, boleh tahan juga ya pelakon drama yang sedang meningkat naik ini.

Isu ini bukan main-main.

Iyalah, sedangkan isu teman lelaki dikebas orang pun boleh bikin seseorang wanita itu naik hantu, apalagi kalau si dia itu sudah memegang status tunangan orang.

Berperang? Mungkin itu keadaan yang akan berlaku.

Tapi percayalah. Tidak akan ada sesiapa yang suka menyaksikan dua wanita memperbodohkan diri sendiri untuk berebutkan seorang lelaki yang tersenyum bangga kerana dirinya menjadi perhatian.

Sudahlah merampas ‘hak’ orang, Izreen dituduh pula berniat jahat cuba menjatuhkan kerjaya wanita berkenaan yang bekerja sebagai pengurus produksi yang dikenali dengan nama Rafeda.

Menariknya, lelaki yang dikejar bukanlah seseorang yang berstatus Tan Sri, Datuk mahupun seorang jutawan atau ahli perniagaan.

Tetapi cuma seorang jurukamera yang bertugas dengan sebuah syarikat produksi tempatan dan dikenali dengan nama R.

Ditujah dengan pelbagai soalan yang tepat mengena mukanya, Izreen mengambil langkah profesional untuk tidak lari menyembunyikan diri.

Baginya, selagi dia jujur dan berkata benar, tidak ada apa yang perlu disembunyikan.

“Tak masuk akal dan sangat merepek! Bila masa pula saya merampas tunang orang?

“Ya memang saya kenal dengan R dan kami mula rapat semasa sama-sama terlibat dalam penggambaran drama berjudul Isabella sekitar pertengahan 2010.

“Tapi kami cuma kawan. Bukan dengan R sahaja, dengan semua orang dalam set itu pun saya berkawan. Kami semua sudah macam satu keluarga.

“Apa motif perempuan itu menuduh saya punca mereka putus tunang? Jangan kerana kesalahan antara mereka berdua maka saya dijadikan mangsa. Saya tak pernah ambil kisah pun fasal mereka,” katanya.

Mengaku mengenali Rafeda dalam tempoh yang agak lama sebagai kenalan ketika sama-sama menuntut di sebuah kolej swasta, kata Izreen, dia terkilan kerana wanita itu sanggup menipu semata-mata mahu mendapat perhatian.

“Memang kami sepanjang di set Isabella jarang sekali bertegur sapa. Tapi semua orang di set tahu bahawa dia dan R tidak pernah bertunang.

“Itu semua cerita rekaan perempuan itu. Sebagai seseorang yang pernah belajar di kolej yang sama, saya tak sangka perangai psiko dia tu terbawa-bawa sampai sekarang dan tak berubah.

“Kalau betul dia dan R bertunang, tunjuk bukti. Dia tak rasa malu ke mengaku diri tunang orang padahal perkara itu tidak pernah berlaku?

“Saya mengaku dia memang cantik orangnya tapi sayang kenapa suka hidup dalam imaginasi begitu?” katanya.

Mula menunjukkan reaksi kurang senang dengan tuduhan yang dilemparkan, kata Izreen, dia juga hairan mengapa isu ini sengaja diperbesarkan.

Malah, dia juga menganggap isu mahu menjatuhkan karier wanita itu cuma satu lagi agenda mengarut yang dilemparkan kepadanya.

“Fikir logiklah, besar sangat ke saya ni sampai layak nak rosakkan periuk nasi dia? Siapa saya? Kalau nak burukkan dia, dah lama saya buat macam tu.

“Kalau saya burukkan dia sekali pun, kalau dia memang bagus dalam kerja yang dilakukan, orang akan tetap ambil dia bekerja tanpa perlu ambil kisah dengan kata-kata hasutan saya, betul tak?” ujarnya.

Profil tercalar
Tidak mampu menyembunyikan rasa kecewa, kata Izreen, dia sedar sebagai manusia kerdil, dia tidak dapat lari daripada dugaan seperti ini.

Apalagi ketika dia kini sedang berusaha menapak membina nama sebagai seorang pelakon dan yang terkini menerusi tayangan drama berjudul Tentang Dhia.

Malah, dalam diam, dia mengangguk, perkara ini sedikit sebanyak mencalar profilnya sebagai seorang pelakon.

“Lima tahun saya berlakon, ini adalah dugaan besar yang terpaksa saya hadapi.

“Sudahlah isu saya dengan Johan pun orang masih sibuk bercakap-cakap, tiba-tiba timbul pula kontroversi ini.

“Saya kasihan dengan perempuan itu. Sifat cemburu sudah menguasai diri. Sebagai seorang wanita dia perlu kuat menghadapi rintangan dalam hubungan. Bukan menuduh orang lain sebagai punca perpisahan.

“Lebih baik dia lihat apa kekurangan dan kesilapan pada diri sendiri sebelum tuding jari pada orang. Ini juga peringatan buat saya sendiri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment