AINUL...pegang watak gadis 'hippie' dalam 696 kilometer.
APABILA wajahnya jarang muncul di televisyen, ramai menganggap pelakon Ainul Aishah sudah tidak lagi minat berlakon. Hingga ada yang menyebarkan cerita pelakon hitam manis ini sudah bersara dari bidang lakonan.
Hakikatnya, perjalanan pemilik nama Ainul Aishah Azizun yang sudah lima tahun membina nama di persada hiburan tanah air masih jauh dalam bidang lakonan.
“Siapa kata saya sudah berhenti berlakon? Cerita itu tak betul. Saya masih minat berlakon dan masih wujud dalam bidang seni. Memang saya memperlahankan aktiviti seni kerana ingin memberi fokus pada bisnes keluarga iaitu restoran Tutti Frutti ketika ini.
“Saya juga tidak ‘demand’ atau selektif sebaliknya berlakon ikut kemampuan sama ada boleh beri komitmen pada lakonan atau tidak kerana pada masa sama, saya juga ceburi bisnes keluarga,” katanya.
Artis yang bernaung di bawah Aquila Emas Sdn Bhd ini bertuah kerana syarikat pengurusan juga menyokong minatnya menceburi bisnes keluarganya.
“Selain saya, seorang lagi artis, Aquila Emas, Zed Zaidi juga menceburi bisnes dengan membuka restoran Papa Rich dan pengurusan kami juga memberi sokongan padu kepadanya. Saya juga ingin mengikut jejak Zed kerana bidang bisnes kini menjadi cinta baru saya ketika ini,” katanya.
Tidak lengkap jika tidak menyentuh perkembangan karier seni Ainul. Pelakon ini juga baru selesai berlakon dalam telefilem seram, 696 Kilometer untuk saluran TV2 bergandingan dengan Nazim Othman. Penggambaran drama ini berlangsung pada Disember tahun lalu.
“Saya pegang watak Amira, gadis ‘hippie’ yang juga adik kepada Nazim dalam cerita ini. Wataknya tidak berat sangat tapi menarik kerana saya perlu memakai baju dan bergaya imej ala ‘hippie’.
“Saya juga buat kajian mengenai watak Amira dengan menonton filem berkaitan. Sebelum ini, saya pernah buat projek berkaitan gadis ‘hippie’ di kolej dan sedikit sebanyak ia membantu saya menggunakan apa dipelajari dalam lakonan.
“Selain itu, saya juga menonton filem komedi Hollywood iaitu Seven’s That Show untuk mendapat idea berlakon watak Amira itu dengan baik,” katanya.
Drama lakonannya, Bola Cinta 2 juga menemui penonton di TV3, baru-baru ini. Ainul juga pernah beraksi dalam filem seperti Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.
Sesibuk mana pun dengan bisnes, penyanyi yang popular dengan single The Old Him ini tidak sesekali melupakan bidang nyanyian yang cukup diminatinya.
“Bidang nyanyian semakin sebati dalam diri dan saya tetap teruskan minat itu. Buat masa ini, saya masih berbincang dengan komposer yang terbabit dan mencari bahan untuk single baru nanti. Namun, semuanya, masih dalam perbincangan lagi,” katanya.
Ainul fokus bisnes keluarga
SELEPAS kedai Tutti Frutti Frozen Yogurt di Bandar Baru Bangi, Selangor mendapat sambutan ramai sejak dibuka Februari lalu, Ainul sibuk membantu keluarganya mengusahakan premis keduanya yang beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan pula.
Majlis pelancaran cawangan kedua kedai yogurt Tutti Frutti Nilai akan berlangsung Lot A2,9 Avenue di Taman Korporat Putra Nilai, Negeri Sembilan pada jam 10 pagi, 12 November ini. Kumpulan Naza adalah pemegang lesen utama bagi rangkaian Tutti Frutti di Malaysia.
Kata Ainul, dia menceburi bisnes untuk jaminan masa depannya sekeluarga. Baginya, usia muda adalah masa yang tepat untuk timba ilmu bisnes.
“Saya memang fokus pada bisnes tahun ini kerana tidak ingin lepaskan peluang yang datang untuk buat perniagaan. Saya percaya tak rugi kalau saya timba ilmu dalam bidang bisnes yang sudah lama ingin diterokai.
“Siapa kata saya main-main dan cari glamor untuk buat bisnes? Terus terang, saya memang serius buat bisnes kerana ia membabitkan masa depan.
“Sampai bila saya nak berlakon? Kalau saya tak mula sekarang bila lagi? Saya percaya, bisnes Tutti Frutti membawa pulangan lumayan dan boleh buat duit,” katanya. Katanya lagi, dia mengimpikan untuk kembangkan empayar perniagaan keluarganya itu.
“Saya memang banyak perancangan untuk masa depan tapi semua tidak boleh dilaksanakan sekali gus,” katanya.
NAMA SEBENAR: Ainul Aishah Azizun
NAMA KOMERSIAL: Ain@Ainul
TARIKH LAHIR: 16 April 1985
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KERJAYA: Model, pelakon dan penyanyi
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Creative Multimedia (Advertising), Multimedia Universiti (MMU)
TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Bong, Enigma, Idola Kecil The Series, Mama Rock, Kecuali Cintamu, Mataku Nampak Hantu, Merah Puteh, Sungai Puaka, Syiling Puaka, The Hoppers, KL Menjerit, Sitkom Anak Mami, Sitkom Senario, Bola Cinta
FILEM: Nana Tanjung, Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria
PENCAPAIAN KERJAYA: Finalis Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia Ke-20, Finalis EH! 20 Yang Anggun 2008, Pemenang Loreal Star Search 2006/2007 dan Top 10, Finalists for Cleo Cover Girl Search 2005/2006.
ANTARA IKLAN: Hotlink, Maxis, Magie, Bursa Malaysia dan iTalk TM
No comments:
Post a Comment