|
LUNAK suaranya, lembut bertiup menyusup ke rongga telinga. Tenang dan mendamaikan. Dalam pada menyanyi dan menggubah lagu bercirikan indie pop kepulauan (island indie pop), sesekali jiwa gadis kelahiran Sarawak dengan nama pentas Zee Avi ini membentak.
Bukan kerana benci melagukan irama yang dia sendiri sukar tafsirkan, tapi kadangkala timbul pertanyaan dalam diri aliran apa yang harus dibawanya.
"Apabila orang bertanya apa genre saya, susah sebenarnya untuk menjawab soalan itu. Tapi jawapan saya ia adalah muzik yang enak didengar.
"Sehinggalah mereka (di Amerika Syarikat) menamakan genre saya ini island indie pop," katanya kala pertemuan di pejabat Universal Malaysia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tidak hairan kebanyakan lagunya memasukkan elemen tiupan angin, desiran air dan ensemble instrumen seperti di kepulauan Hawaii.
Pemilik nama Izyan Alirahman, 26, itu turut menambah, kerjayanya sebagai penyanyi di rantau orang yang nyata sekali asing baginya tidak pernah terduga pada awalnya.
Berjalan lancar karier yang dibina sejak pertama kali menginjak bumi New York, Amerika Syarikat sejak berusia 17 tahun, ujar Zee Avi lagi dia terkejut dengan penerimaan lagu-lagu berbahasa Melayu miliknya.
"Cuba bayangkan ada antara penduduk di sana (Amerika Syarikat) tahu lirik dan boleh menyanyikan lagu Kantoi dan Siboh Kitak Nangis, aneh bukan?" selitnya teruja.
Pernahkah Zee Avi berputus asa dan siapa yang menjadi pembakar semangatnya untuk terus berlari di landasan sukses? Jawabnya ringkas - ibu dan keluarga.
"Tipu kalau saya cakap tidak pernah berputus asa, tapi saya sentiasa fikir positif. Saya ada keluarga yang sentiasa di belakang menyokong dan memberi kepercayaan.
"Kata-kata ibu sentiasa berlegar dalam ingatan dan saya mendisiplinkan diri berfikir bahawa saya datang daripada tempat yang secara budaya dan tradisinya menghormati banyak perkara.
Membelek kembali sejarah awal kemunculan Zee Avi dan membandingkan dirinya terkini, katanya, banyak pengalaman yang mendewasakannya.
"Pastinya Zee Avi sekarang miliki rambut yang lebih pendek. Secara jujur, banyak yang boleh berlaku dalam masa satu jam apatah lagi tiga tahun.
"Banyak pengalaman pahit manis yang dipelajari begitu juga ilmu pengetahuan yang berguna," tutur penyanyi yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Jack Johnson's Brushfire Records dan label Ian Montone bersulam tawa kecil.
Burung hantu
Sempena mempromosikan album terbaharunya, Ghostbird, Zee Avi telah menjelajah segenap pelosok bandar dan desa dari timur ke barat Amerika Syarikat sebelum melebarkan kepaknya ke negara Asia.
"Saya berhenti di setiap bandar dari Los Angeles ke San Francisco, dan bersyukur kerana di kebanyakan tempat album saya sudah habis terjual.
"Selepas dua minggu berehat, saya memulakan jelajah Asia dari Tokyo, Jepun ke Seoul, Korea dan juga ke Bali, Indonesia sebelum akhirnya saya berjaya juga pulang ke Malaysia," luah Zee Avi gembira.
Melihat dunia lebih luas daripada kaca mata seumpama seekor burung, bebas dan boleh bercerita, album itu seolah-olah terapi buatnya berkarya.
"Dalam album ini, trek kegemaran saya adalah Swell Window. Ia merupakan satu terma yang digunakan oleh peluncur air bermaksud ombak paling sempurna.
"Ia adalah satu kesimpulan keseluruhan album sebab lagu itu mencerminkan sisi romantik dalam setiap momen. Sama juga seperti dua kebarangkalian bertemu seseorang yang pernah kita temui sebelum ini," laju meluncur falsafah yang dibina Zee Avi dari bibirnya.
Manakala, lagu Siboh Kitak Nangis (yang bermaksud Jangan Kamu Menangis dalam bahasa Sarawak) muncul dengan sendirinya dan ada sedikit sebanyak berkait realiti kehidupan Zee Avi yang sebenar.
Fesyen dan santai
Sibuk mempromosikan albumnya termasuk mengikuti festival muzik seperti SXSW, Outside Lands, Bonnaroo dan sesi jelajah mega antaranya Lilith Fair, Zee Avi juga seperti insan biasa.
Sementara itu, mengulas fesyen dan stail sehari-harian, jujur Zee Avi katakan dia tidak merujuk sebarang ikon untuk berpakaian.
"Saya lebih selesa memadan dan menyesuaikan pakaian atau aksesori yang sudah saya ada. Gaya saya selesa dan pakai saya apa yang saya ada.
"Bagaimanapun, saya sukakan barangan vintaj dan kalau di sana (Amerika Syarikat) saya gemar ke pusat pakaian murah atau jika di Malaysia kita panggil bundle," jelas bekas penuntut jurusan rekaan fesyen Universiti American InterContinental.
Ditanya tentang status hubungannya yang terkini, jawab Zee Avi penuh misteri: "It's complicated!"
Kosmo!